Sirul boleh buat semakan selepas pemansuhan hukuman gantung mandatori dikuatkuasakan

Ada undang-undang yang membolehkan orang seperti Sirul membuat permohonan untuk menukar hukuman gantung kepada hukuman penjara seumur hidup: Peguam

3:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Malaysia masih boleh membuat permohonan ekstradisi kepada pihak berkuasa Australia untuk membawa pulang bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu ke Malaysia.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Sirul Azhar yang dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia, boleh membuat permohonan semakan hukumannya di Mahkamah Persekutuan susulan tiada lagi hukuman gantung mandatori selepas ia dimansuhkan.

“Pada masa dia ditahan, hukuman mati ketika itu mandatori di Malaysia, itu yang menyebabkan Australia benarkan Sirul berada di sana dan kalau ada permohonan suaka mereka akan lihat dan sebagainya.

“Tapi pada tahun ini hukuman mati mandatori dah dimansuhkan, mereka yang dikenakan hukuman gantung boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 90 hari selepas berkuatkuasanya undang-undang baharu, membuat permohonan untuk Mahkamah Persekutuan semak semula sama ada hendak tukar hukuman gantung itu menjadi hukuman penjara seumur hidup atau yang sepatutnya.

“Undang-undang ini ada di Malaysia sekarang, mungkin antara sebab kenapa Australia melepaskan dia dari tahanan imigresen di sana.

“Sebab bukan sahaja yang bakal dituduh tidak akan dikenakan mandatori hukuman gantung, itu menjadi pilihan, tapi ada undang-undang yang membolehkan orang seperti Sirul membuat permohonan untuk menukar hukuman gantung kepada hukuman penjara seumur hidup,” katanya kepada Scoop hari ini.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Sirul Azhar boleh melalui peguamnya yang lama atau yang baru, membuat permohonan untuk mengubah hukuman gantung mandatori menjadi hukuman penjara seumur hidup – Gambar Facebook Haniff Khatri, 12 November, 2023

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herarld, melaporkan Sirul Azhar yang telah ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia, sejak 2015, telah dibebaskan semalam.

Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Australia pada 8 November lalu, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, Sirul Azhar mempunyai hak untuk membuat permohonan semakan hukuman itu.

“Sirul boleh melalui peguamnya yang lama atau yang baru, membuat permohonan untuk mengubah hukuman gantung mandatori menjadi hukuman penjara seumur hidup.

“Biar Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada dalam keadaan kes dia, boleh atau tidak dilakukan perubahan tersebut,” katanya.

Sirul Azhar dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006, seorang wanita Mongolia yang merupakan penterjemah – Gambar Bernama, 12 November, 2023

Ditanya bagaimana jika Sirul Azhar bertegas tidak mahu membuat permohonan semakan itu, beliau berkata isu lanjut mengenai perkara itu antara Sirul dan pihak berkuasa Australia.

“Australia cuma akan memberi suaka kepada hukuman gantung mandatori dan mereka juga tidak akan senang-senang bagi itu ikut suka hati.

“Mesti mereka akan tanya kenapa anda tidak membuat permohonan itu, itu hak anda di Malaysia, tidak boleh menyalahgunakan undang-undang Australia untuk kepentingan anda.

“Jadi ini tertakluk kepada pihak berkuasa Australia, tapi saya rasa mereka tidak akan senaif itu, malah tujuan mereka lepaskan Sirul pun saya percaya mereka pun tahu ada undang-undang yang mengharamkan hukum gantung mandatori dan ada undang-undang baharu untuk orang seperti Sirul membuat permohonan untuk menukar hukuman.

“Jadi saya rasa isu Sirul nak salah gunakan itu bukan dalam tangan atau kuasa dia, dia boleh buat apa dia nak buat, Australia juga ada kuasa mereka, itu sebab dia dilepaskan,’’ katanya.

Berikutan itu beliau berkata, Pesuruhjaya Malaysia ke Australia perlu memainkan peranannya dengan kadar segera.

“Rasanya beliau patut tahu apa yang perlu dilakukan dan perlu pantas, Malaysia boleh minta untuk pulangkan dan usaha dapatkan balik Sirul, tiada benda yang perlu tunggu melainkan perintah mahkamah.

“Perkara ini mudah sahaja, Sirul dah tahu hukumannya bukan mandatori lagi, jadi buat permohonan balik Malaysia, habis cerita, Australia pun tidak akan simpan sebab tiada hukuman gantung mandatori lagi,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, anak Sirul Azhar, Shukri Azam, 23, merayu kepada Kerajaan Australia untuk mempertimbangkan semula pemberian suaka politik kepada mereka selepas permohonan pertama ditolak pada 2019.

Shukri Azam berkata dia dan bapanya tidak bercadang untuk pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk pembunuhan sudah dimansuhkan.

Akbar The Sydney Morning Herald, melaporkan Shukri Azam, yang berusia enam tahun ketika Altantuya dibunuh mendakwa, dia bimbang nyawa bapanya akan terancam jika mereka pulang semula ke Malaysia.

Shukri Azam dilaporkan dibesarkan oleh ibu bapa angkat di Australia selepas berjauhan dengan ibunya, dan ketika ini menetap di Australia selama hampir 10 tahun. – 12 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related