KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tiada pegawainya ketika ini yang ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, mengikut 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP), pegawai SPRM dilarang terlibat dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar.
Malah SPRM juga telah selesai membuat siasatan berhubung isu penyelewangan Mitra dari 2019 ke 2021 dan berjaya membuat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah.
Dalam kes-kes terbabit, dua tertuduh telah mengaku salah.
“Hasil dapatan siasatan, SPRM mengkaji tatakelola pengurusan dana Mitra untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana Mitra kepada masyarakat India di negara ini,’’ katanya di sini.
Ia bagi membetulkan fakta yang berkemungkinan akan mengelirukan umum berhubung laporan di dua akhbar berbahasa Inggeris bertajuk “MACC stations officer at Mitra for greater transparency” dan “MACC officers to join Mitra meeting”.
Pada 10 November lalu, pengerusi Mitra, Datuk R. Ramanan dilaporkan berkata bahawa seorang pegawai SPRM akan menganggotai Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra bagi membantu dalam memantau pengurusan dana.
Beliau berkata langkah berkenaan dapat memastikan dana unit tersebut digunakan sepenuhnya dan diagihkan dengan lebih telus untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat India.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) kerana beliau telah memberikan pegawainya yang akan turut hadir (semasa mesyuarat) serta akan membimbing kami dalam memastikan tiada salah urus (dana) berlaku,” katanya pada satu sidang media.
Mengulas lanjut, SPRM memaklumkan Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India oleh Mitra telah diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Februari 2022.
Ia, katanya sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan.
“Untuk makluman, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah tindakan pencegahan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan,’’ katanya. – 12 November, 2023