KUALA LUMPUR – Radio Televisen Malaysia (RTM) menerima permohonan maaf seorang pemilik akaun TikTok, berhubung isu solekan penyampai beritanya yang dikatakan ‘menyeramkan’ dan disamakan dengan pelakon filem seram Indonesia, Suzanna.
Perkara itu kemudian tular di media sosial, sehingga menerima pelbagai reaksi netizen, termasuk solekan berkenaan dianggap keterlaluan.
Kenyataan Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Penyiaran RTM memaklumkan, individu menggunakan nama akaun @syukfendi itu memuat naik permohonan maaf di platform media sosial terbabit hari ini.
@syukfendi2 Ye lah jap lagi Min beli tv baru🤣 Ok pihak kami ingin membuat permohonan maaf terbuka kepada Puan Noramalina binti Halim ,sgt cantik manis orangnya, dari RTM Melaka IG @ normalinahalim , gurau2 ye kak🤣 Teruskan menyokong & follow @Berita RTM & @RTM Malaysia Official moga Pn Amalina dimurahkan rezeki melimpah ruah dan dipermudahkan segala urusan sekeluarga amin ya rabbal alamin yg buruk dtg diri kita yg baik dtg dr Allah swt ❤️❤️💪💪 #fyp #fypシ #fyphariini #fypmalaysia #suzanna #beritartm ♬ suara asli – user7606249829484 – irmanuryani
“RTM tidak berhasrat untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas individu terbabit memuat naik kenyataan maaf di platform media sosial itu.
“Bagaimanapun pengguna media sosial, khususnya TikTok diingatkan lebih cakna dan bijak dalam memuat naik hantaran di akaun masing-masing pada masa hadapan,” menurut kenyataan permohonan maaf itu yang turut dikongsikan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Terdahulu, individu berkenaan memuat naik rakaman siaran lintas langsung Berita Wilayah bagi zon Selatan, dari studio RTM Melaka yang bersiaran pada jam 5 petang semalam.
Muat naik berdurasi 18 saat itu, memaparkan penyampai berita RTM Melaka (bukan pengacara seperti didakwa), Nor Amalina Abdul Halim disolek menyerupai pelakon filem seram Indonesia, Suzanna.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata, hasil semakan pasukannya mendapati, rakaman video asal berita berkenaan yang disiarkan melalui platform RTMKlik dan saluran televisyen, tidak seperti ditularkan.
Katanya, video tular itu seolah-olah disunting semula, terutama solekan di lingkaran mata penyampai berita terbabit.
Namun, beliau berkata, RTM enggan menjadikannya sebagai isu besar dan pihak stesen penyiaran itu terbuka menerima pandangan, teguran atau nasihat penonton.
“RTM khususnya bahagian berita cukup terbuka dalam menerima pandangan, teguran atau nasihat orang ramai sebagai penonton setia semua program terbitan stesen ini.
“Bagaimanapun pandangan atau perkara yang sengaja ditularkan dengan sedikit tokok tambah, adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya. – 11 November, 2023