‘Dulu masa jadi kerajaan, tak ada pula dengar bantahan PAS untuk selamatkan syariah’: Mujahid

Katanya, dakwaan seolah-olah Kerajaan Perpaduan tidak membantah permintaan kebenaran pempetisyen itu, tidak masuk akal kerana notis usul kes sudah difailkan

8:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Segala pertikaian termasuk mencabar keabsahan undang-undang syariah, perlu ditangani secara bersama tanpa perkara itu dipolitikkan semata-mata untuk membuktikan siapa lebih Islamik.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, perundangan syariah dicabar pihak tertentu, termasuk menerusi petisyen dikemukakan dua individu yang mempertikai keabsahan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019.

Beliau berkata, ia atas alasan perundangan bahawa 20 peruntukan kesalahan itu, bertindan dengan peruntukan undang-undang yang sudah digubal di peringkat Persekutuan, justeru ia dikira tidak sah dan terbatal.

“Perlu dimaklumkan bahawa semasa notis usul (difailkan) pada 25 Mei 2022, tiada bantahan dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa itu, mahupun kedengaran bantahan secara politik oleh PAS untuk ‘selamatkan syariah’ yang ketika itu menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan kerajaan di Kelantan.

“Pada 17 Ogos lalu, sebutan kes berjalan dan anehnya Rabu lalu, barulah kedengaran PAS melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan isu ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang serius untuk mencabar Mahkamah Syariah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Mujahid berkata, dakwaan seolah-olah pihak Kerajaan Perpaduan tidak membantah permintaan kebenaran pempetisyen itu, tidak masuk akal kerana notis usul kes sudah difailkan.

“Saya khuatir isu RUU 355 yang pernah dipolitikkan PAS suatu ketika dahulu akan berulang, di mana umat Islam dan negara diheret sekali lagi kepada satu kancah pertikaian yang asalnya adalah soal perundangan dan kuasa yang diperuntukkan.

“Semasa PN menjadi kerajaan, tiada pula dilihat sesuatu hasil atau sekurangnya ke arah pelaksanaan RUU 355 di mana waktu itu Menteri Agama dan Menteri Undang-Undang di bawah kuasa PAS,” katanya.

Rabu lalu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PN akan menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 – Alif Omar/Scoop, 11 November, 2023

Menurutnya, beliau tidak bersetuju kes mencabar keabsahan undang-undang syariah di negara ini dan turut dipolitikkan pada masa sama.

“Saya akan mempertahankan keabsahan undang-undang syariah secara objektif, iaitu melalui kekuatan hujahan di mahkamah di mana kita harus mempertahankan kuasa yang diperuntukan dalam lingkungan hak dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak ada mana-mana pihak yang mahu melihat perundangan syariah di Malaysia terhapus,” katanya.

Ahli Dewan Negara itu berkata, reformasi menyeluruh perundangan syariah perlu digerakkan bagi membaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah di negara ini.

“Apa juga keputusan dalam petisyen ini seharusnya menyemarakkan lagi azam dan tekad untuk kita memperbaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah dari semua aspeknya.

“Saya tegaskan di sini sekali lagi bahawa mempertahankan perundangan syariah perlu dibuat secara objektif dan kolektif.

“Ia bukan soal ‘syariah dicabar’ untuk dipolitikkan, tetapi bagaimana kita bertindak bagi memperkukuhkan peruntukan syariah supaya tidak ada lagi kelompongan atau lacuna yang menjadi asas pihak tertentu mengambil kesempatan, (justeru) marilah kita pertahan perundangan syariah bersama,” katanya.

Rabu lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, PN akan menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Jelas Tuan Ibrahim, perhimpunan terbabit akan diadakan pada 16 November di Terengganu, diikuti 18 November di Kelantan dan perhimpunan munajat pada pagi 20 November di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Terdahulu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh Kerajaan Kelantan, tahun lalu.

Dua individu terbabit mendakwa, 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang membabitkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen, manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi hak menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam. – 11 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related