Tindakan Bersatu tolak peruntukan Akta Anti Lompat Parti makan diri, sekarang mereka jadi Ahli Parlimen ‘zombi’

Ahli Parlimen 'zombi' itu tidak boleh dipecat parti dan tidak boleh sertai Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) atau PN namun akan mendapat peruntukan

11:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan empat pemimpin Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri didakwa berpunca daripada ‘kesilapan’ beberapa pemimpin parti itu yang menolak satu peruntukan dalam draf Akta Anti Lompat Parti sebelum ini.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, usul dibawa Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, agar peruntukan untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi jika seorang Ahli Parlimen bertentangan pendirian atau melanggar prinsip parti di Dewan Rakyat, ditolak menteri dan wakil rakyat Bersatu.

Katanya, pemimpin tersebut juga bertegas menentang klausa itu apabila ia pertama kali dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sehingga ia dikeluarkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) tersebut.

Usul Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini agar peruntukan untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi jika seorang Ahli Parlimen bertentangan pendirian atau melanggar prinsip parti di Dewan Rakyat, ditolak menteri dan wakil rakyat Bersatu – Gambar Facebook, 10 November, 2023

“Ironinya, individu yang menentang adalah Ahli Parlimen dan menteri Bersatu, iaitu dari Perikatan Nasional (PN) sekarang ini, antara paling lantang tidak menyokong draf berkenaan.

“Mungkin sebab mereka juga ada pengalaman melompat parti. Menteri-menteri yang bantah draf asal kini menjadi mangsa terhadap draf yang telah dipinda dan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, hari ini.

Terdahulu, empat Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengumumkan pendirian menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menjelaskan tindakan empat wakil rakyat pembangkang itu tidak menjejaskan kerusi di kawasan tersebut.

Tan Sri Johari Abdul menjelaskan tindakan empat wakil rakyat pembangkang yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjejaskan kerusi kawasan mereka – Gambar Jabatan Penerangan, 10 November, 2023

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Wan Junaidi ketika itu mengesan kelompongan dalam Akta Anti Lompat Parti, tetapi kini sudah terlambat dan tiada tindakan atau langkah yang dapat dilakukan.

“Sekarang ini, mereka akan jadi Ahli Parlimen ‘zombi’ yang mana Bersatu tidak boleh pecat dan tidak boleh sertai Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) atau PN. (Mereka) Hidup macam ‘zombi’ dan akan dapat peruntukan,” katanya.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan oleh Parlimen dikaji semula kerana terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi parti politik.

Katanya, perkara tersebut akan menjejaskan pelaksanaan hukuman yang berkesan disebabkan situasi sebegitu. – 10 November, 2023

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related