SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM59.7 juta bagi pelaksanaan program dan inisiatif kesihatan awam di Selangor.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program Iltizam Selangor Sihat (ISS) diteruskan dengan peruntukan tahunan RM35 juta, akan memberi manfaat kepada 100,000 pemegang polisi utama dan anggaran 150,000 ahli keluarga berdaftar.
“Setiap pemegang polisi ISS layak mendapatkan rawatan asas dan vaksinasi berjumlah RM500 setahun bagi kategori keluarga dan RM250 setahun bagi kategori individu di mana-mana klinik panel di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri akan memperluas manfaat hospitalisasi kepada semua penerima ISS berjumlah sehingga RM10,000 setahun di hospital panel terpilih.
“Kerajaan negeri menyedari bahawa kos bagi rawatan hospitalisasi di hospital swasta adalah tinggi dan golongan yang berpendapatan rendah tidak mempunyai kemampuan kewangan bagi membiayai rawatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 bertema Selangor Mandiri:Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata, manfaat tambahan yang diberikan sebelum ini akan turut dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan ia tidak bertindih dengan manfaat di bawah program lain.
“Antara manfaat tersebut adalah manfaat penyakit kritikal sebanyak RM5,000 dan manfaat kematian semulajadi sebanyak RM5,000. Manfaat ini akan turut meliputi bagi ahli keluarga berdaftar di bawah ISS,” katanya.
Beliau berkata, Bantuan Sihat Selangor (BSS) yang diperkenalkan sejak 2009 akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi 2024.
“Melalui BSS, golongan kurang berkemampuan akan diberikan bantuan kewangan berjumlah sehingga RM5,000.
“Ia bagi menampung kos rawatan kesihatan seperti dialisis buah pinggang, pembedahan katarak mata, pembedahan kecil, rawatan kanser, elaun pengangkutan serta bantuan alatan perubatan,” katanya.
Tambah beliau, program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang menawarkan bantuan kewangan bagi rawatan jantung sehingga RM50,000 kepada golongan berkelayakan, diteruskan melalui peruntukan berjumlah RM5 juta.
Katanya, peruntukan sebanyak RM1.5 juta akan disediakan di bawah Program Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam (ISSPA) yang akan memberi manfaat kepada kesemua penjawat awam Gred 44 dan ke bawah.
“Kerajaan negeri akan meneruskan Program Selangor Saring dan Saringan Kanser dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.2 juta.
“Program Selangor Saring meliputi saringan bagi tiga jenis penyakit tidak berjangkit termasuklah penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi serta saringan kesihatan mata. Bagi saringan kanser pula, ia meliputi kanser payudara, serviks, kolorektal dan prostat,” katanya. – 10 November, 2023