KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad kerana membuat kenyataan palsu mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan mendiang pemimpin komunis, Chin Peng.
Guan Eng berkata, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang jenayah terhadap Siti Mastura yang membuat dakwaan itu, menerusi ucapan politik di Kemaman pada acara PAS untuk ahli wanita muda parti berkenaan pada 4 November lalu.
Ahli Parlimen Bagan itu juga mahu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat kenyataan terbuka sama ada mereka bersetuju dengan dakwaan Siti Mastura atau sebaliknya.
Keputusan Guan Eng melantik peguam dibuat selepas Siti Mastura gagal memenuhi permintaannya untuk memberikan bukti berhubung dakwaan terbabit hingga semalam.
Dalam dakwaan itu, Siti Mastura mendakwa Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang, mempunyai kaitan dengan Chin Peng yang juga bekas pemimpin Parti Komunis Malaya dan bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
“Dengan menggunakan hubungan kekeluargaan yang tidak wujud untuk mencetuskan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina, (ia) jelas bersifat perkauman serta ekstremis,” kata Guan Eng menerusi kenyataan bagi merujuk kepada demonisasi DAP yang sekian lama dimainkan parti pembangkang Melayu.
“Apa menjadikan tingkah laku Siti Mastura yang tidak bertanggungjawab ini lebih tidak boleh diterima ialah tiada penyesalan daripada (beliau) atas ucapan kebencian penuh dengan pembohongan keterlaluan, perkauman dan ekstremisme.
“Beliau enggan menunjukkan bukti hubungan kekeluargaan yang didakwanya itu, malah tidak menarik balik atau memohon maaf atas pembohongan keterlaluan dan fitnah berniat jahat.
“Guan Eng juga melahirkan kebimbangan kerana penyokong PAS memuji dan menggalakkan tingkah lakunya, hanya kerana kenyataannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin, penyokong serta rakyat DAP.
Pada 4 November lalu, Siti Mastura mendakwa Guan Eng dan bapanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, mempunyai kaitan dengan dua tokoh berkenaan, ketika berucap pada program PAS di Kemaman.
Ucapan beliau yang dimuat naik ke YouTube menunjukkannya mendakwa isteri Guan Eng, Betty Chew adalah sepupu kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Mastura juga mendakwa Guan Eng dan bapanya mempunyai kaitan dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Untuk rekod, sudah dilaporkan Nga dan Ngeh adalah sepupu.
Selain itu, Siti Mastura ‘menamakan semula’ Kuan Yew sebagai ‘Lim’, kata Guan Eng untuk menjelaskan pembohongan terbabit.
Beberapa Ahli Parlimen DAP semalam, membuat laporan polis terhadap Siti Mastura selepas beliau gagal menarik balik kenyataannya terhadap pemimpin parti itu.
Ngeh dan Kok juga menafikan dakwaan Siti Mastura, sambil menambah bahawa beliau tidak layak menjadi pemimpin.
Bagaimanapun, Siti Mastura enggan menjawab soalan berhubung dakwaannya apabila ditekan untuk berbuat demikian di Dewan Rakyat, selain dilaporkan mengelak memberikan kenyataan kepada media apabila ditanya mengenai perkara itu. – 10 November, 2023