KUALA LUMPUR – Kejadian gempa bumi kuat yang melanda Laut Banda, Indonesia malam ini, tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia.
Perkara itu disahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi Facebook.
“Gempa bumi kuat berlaku di Laut Banda pada jam 9:02 malam ini.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya.
Menerusi hantaran sama, MET Malaysia melaporkan gempa bumi itu berlaku pada magnitud 6.9 skala richter.
“Gempa bumi tersebut berjarak 353 kilometer (km) tenggara dari Ambon dengan kedalaman 10 km,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, ada netizen mendakwa penggera mengesan gempa bumi pada telefon pintarnya berbunyi, menandakan kawasannya turut merasai gegaran gempa bumi di Indonesia.
“Dari tengah hari tadi, alarm gempa di handphone (telefon bimbit) berbunyi. Tempat berdekatan, kali ketiga ni,” kata Sieera De Vera.
“Jaga-jaga, kerap pula baru je berlaku, ini pun hampir skala richter 7, kuat lagi tu,” kata Muhammad Shahrul Baharom. – 8 November, 2023