Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu berkaitan Covid-19

Hakim membuat keputusan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie

1:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah sesyen hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audiovisual mengenai virus Covid-19, dua tahun lepas.

Hakim N. Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, OKS (orang kena saman) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya. 

Pada 1 Oktober 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audiovisual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.

Penyebaran melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 6 Mac lepas.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.

Semasa ditemui pemberita selepas prosiding, Lokman berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.

“Saya bersyukur dan gembira, ini kes kedua saya dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pada 23 Jun lepas, mahkamah sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Lokman daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin pada 2021.– 7 November, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related