‘Tindakan Harakah letak bendera Israel belakang gambar saya biadap, fitnah guna serban’: PM

Menyelar tindakan itu sebagai melanggar tatasusila, Anwar berkata, beliau akan mengambil tindakan keras sekiranya ia berulang

11:43 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar penerbitan sebuah akhbar milik pembangkang, Harakahdaily yang memaparkan kandungan seolah-olah mengaitkan beliau sebagai ‘pro Israel’.

Perdana Menteri berkata, kenyataan serta gambar disiarkan akhbar itu berhubung isu konflik Palestin dan Israel, disifatkannya sebagai biadap dan fitnah melampau.

“Dalam ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), di bawah pentadbiran saya, dengar ya, jangan ketua dewan ulama gunakan Harakah kaitkan saya dengan Israel.

“Itu satu kenyataan biadap, melanggar tatasusila, fitnah yang guna serban, tidak sah dan saya bantah sekeras-kerasnya

“Kalau baca kenyataan itu, saya minta (Ahli Parlimen) Beluran baca Harakah, gambar saya dengan bendera Israel di belakang. Mana boleh dewan ulama cakap macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Harakahdaily menerusi berita bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin’ diterbitkan semalam, memaparkan gambar utama Anwar bersebelahan Ketua Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahya.

Gambar itu turut memaparkan bendera Israel di belakang Anwar dan bendera Palestin di belakang Ahmad.

Meskipun tidak tertera sebarang kapsyen, gambar itu dianggap tidak sepatutnya digunakan kerana seolah-olah memberi imej buruk kepada Perdana Menteri.

Ia turut mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, termasuk netizen yang menyifatkannya melampau dan seolah-olah berunsur propaganda, terutama Perdana Menteri secara jelas lantang dalam menunjukkan sokongan kuat bagi memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Anwar menegaskan, beliau tidak kisah sekiranya dikritik, namun meminta jangan sesekali mana-mana media melaporkan perkara salah apabila membabitkan isu pergolakan di Timur Tengah.

“Mengapa saya marah, sebab gambar saya ini di belakangnya (bendera) Israel, YB harus faham, YB rasa keras, marah dengan Israel, saya pun begitu, jadi bila dibuat begitu walaupun tiada kapsyen, saya rasa Harakah boleh betulkan.

“Boleh nak tegur, nak marah, nak kritik saya dalam soal-soal lain, saya terima dengan baik, tapi yang ini jangan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar memberi amaran supaya fitnah dibuat akhbar terbabit terhadapnya tidak terus dilakukan kerana sekiranya berulang, beliau akan mengambil tindakan tegas.

“Kalau dia ulang, saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa guna perkara itu,” katanya.

Malah, Perdana Menteri meminta mana-mana pihak supaya tidak menggunakan isu sensitif berhubung konflik antara dua negara berkenaan sebagai permainan politik, sebaliknya menunjukkan sikap bersatu padu rakyat Malaysia dalam memperjuangkan Palestin.

“Jangan mainkan sebagai mainan politik, semua tidak kira parti harus bersama memberikan sokongan supaya rakyat negara ini dan dunia tahu, satu Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin!” kata Anwar. – 7 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same tahun GLICs invested RM47 mil

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related