Lebih 2,000 orang hilang, Gaza perlukan segera pasukan pertahanan awam

Tiada lagi tempat selamat di wilayah yang dikepung itu, dengan tentera penceroboh Israel melakukan serangan hampir setiap jam, setiap hari tanpa henti

7:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Angka kematian di Gaza meningkat kepada 9,770 pada Ahad, dengan sekurang-kurangnya 2,000 lagi masih belum dikesan dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan rumah dan bangunan yang musnah akibat serangan udara tanpa henti oleh rejim Zionis.

“…kami tidak mempunyai sukarelawan dan jentera berat yang mencukupi untuk membantu mencari dan mengeluarkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan.

“Agensi pertahanan awam kami tidak dapat menggeluarkan mereka, selain tidak dapat menangani serangan udara bertubi-tubi, kemusnahan dan pengeboman berlaku di setiap kawasan di Semenanjung Gaza,” kata Ketua Dasar Awam di Pejabat Perdana Menteri Gaza Dr Abdullah Waleed kepada Bernama ketika dihubungi melalui WhatsApp.

Dr Abdullah berkata keperluan untuk mewujudkan pasukan pertahanan awam yang mampu bertindak balas dalam menangani bencana buatan manusia itu amat mendesak.

“Pertahanan awam semakin diperlukan sekarang, terutama tahap kemusnahan dan jumlah korban di Gaza sejak 7 Oktober lepas tidak dapat dibandingkan dengan pencerobohan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata tiada lagi tempat selamat di wilayah yang dikepung itu, dengan tentera penceroboh Israel melakukan serangan hampir setiap jam, setiap hari tanpa henti.

“Kehidupan rakyat amat derita. Mereka hanya menggunakan apa sahaja yang ada dan jika boleh pergi ke kedai, susah untuk dapatkan barangan makanan. 

“Anda hanya boleh dapat satu paket roti untuk dimakan 10 atau 20 ahli keluarga. Hanya sekeping roti untuk setiap orang sehari…,” katanya yang juga Ahli Majlis Hubungan Antarabangsa Palestin.

Di sebalik tekanan, kebimbangan dan keletihan, Dr Abdullah berkata penduduk Gaza terus tabah, setelah mengalami kesusahan hampir setiap hari selama beberapa dekad.

“Mereka berpegang teguh pada akidah dan saya percaya inilah yang menjadikan mereka sangat kuat dan berazam untuk berjuang mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata walaupun tidak ada tanda-tanda gencatan senjata antara Israel dan pihak Palestin, penduduk di Gaza terharu dengan sokongan yang diberikan dari seluruh dunia untuk perjuangan Palestin.

Rakyat Palestin mengharapkan lebih banyak sokongan daripada dunia Arab dan Islam, kenyataan dan pendirian yang lebih padu dan berani terhadap kekejaman berterusan Israel.

“Misalnya, dunia Arab akan mengisytiharkan mereka tidak akan mengeksport minyak ke negara yang menyokong Israel.

“Tindakan ini akan memaksa masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel supaya menghentikan kekejaman yang sedang berlaku,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa negara Arab perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Beliau berkata penduduk Gaza turut memuji Malaysia yang menunjukkan solidariti yang padu ke atas Palestin dan berharap negara-negara lain akan mengikuti langkah yang sama dalam menyokong Palestin.

“NGO Malaysia telah melakukan kerja-kerja kemanusiaan yang penting sejak sekian lama dan mereka adalah antara pertubuhan aktif utama di seluruh dunia yang menyokong perjuangan Palestin,” katanya. – 6 November, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related