KUALA LUMPUR – Grab Malaysia menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM1 juta bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat Gaza yang terkesan akibat konflik Palestin-Israel yang semakin meruncing.
Platform perkhidmatan e-hailing itu menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan tersebut akan dihulurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) Mercy Malaysia.
Menurutnya, pengguna Grab juga boleh menyalurkan bantuan kewangan mereka menerusi aplikasi berkenaan.
“Bagi mengatasi keperluan mendesak dihadapi komuniti rentan yang terjejas di Gaza (Palestin), berikutan konflik yang berterusan, Grab Malaysia akan menyumbang bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui Mercy Malaysia.
“Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha Mercy Malaysia, sekali gus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Grab Malaysia memaklumkan pihaknya menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal kepada mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan dan bekalan air.
Malah katanya, syarikat itu turut mengulangi komitmennya kepada prinsip kemanusiaan dan keamanan dan membantah sekeras-kerasnya sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia.
“Grab Malaysia dan Mercy Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan, dalam memastikan kesan positif berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas, dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang.
“Selain itu, bermula 8 November hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin Mercy Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, netizen mendesak orang ramai untuk memboikot syarikat itu selepas tangkap layar hantaran di Instagram Chloe Tong, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan, tular di media sosial.
Menerusi perkongsian Chloe yang juga warga Singapura, dia berkongsi bagaimana dia jatuh cinta dengan Israel semasa percutiannya sebanyak dua kali ke negara itu tahun ini.
Hantaran itu kemudiannya dikongsi seorang pengguna di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), yang mendesak orang ramai supaya memboikot Grab kerana didakwa menyokong Israel. – 6 November, 2023