KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat had tertentu perlu dipatuhi kerajaan berhubung pindaan Perlembagaan berkaitan pemberian kerakyatan, selepas ia dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri menegaskan, berikutan itu, pihaknya akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen kerajaan susulan kegelisahan mereka berkaitan cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pemberian kerakyatan.
“Sebarang pindaan Perlembagaan yang mengubah isu kewarganegaraan perlu diselesaikan dengan Majlis Raja-Raja.
“Persidangan Raja-Raja sudah mengambil pendirian tertentu. Oleh itu kita perlu menghormatinya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX2023) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee memberi amaran bahawa mungkin ada beberapa penyokong kerajaan, bertindak bertentangan daripada ketua whip masing-masing di Dewan Rakyat, jika pindaan terbabit tidak ditangani bersungguh-sungguh.
Difahamkan, beliau merujuk kepada lapan cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan kerakyatan.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jemaah Menteri akan membincangkan pindaan Perlembagaan yang dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja, disusuli pembentukan draf pindaan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keputusan untuk memaparkan nama Ahli Parlimen yang sengaja tidak menghadiri sidang Parlimen di laman sesawang, Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Itu kita serahkan kepada budi bicara speaker,” katanya. – 6 November, 2023