Pekerja syarikat diboikot wajib ada niat, usaha bersungguh-sungguh cari pekerjaan lain: Mufti

Mereka masih boleh bekerja untuk sementara waktu bersama syarikat atau perkhidmatan diboikot itu, sekiranya dalam keadaan ‘darurat’ dan belum menemui kerja baharu

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tidak menjadi kesalahan untuk pekerja Islam terus bekerja buat sementara waktu bersama syarikat atau perkhidmatan yang didakwa menyalurkan dana kepada Israel ketika ini, selagi mereka berada dalam keadaan darurat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, darurat dimaksudkan itu adalah apabila individu terbabit, masih belum mendapat pekerjaan baharu dan terpaksa meneruskan tugas sedia ada untuk kelangsungan hidup.

Namun, tegasnya, pada masa sama, individu mesti berusaha sebaiknya mencari pekerjaan di syarikat atau perkhidmatan lain yang tidak menyalurkan dana untuk tujuan tidak baik.

Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, individu mesti berusaha sebaiknya mencari pekerjaan di syarikat atau perkhidmatan lain yang tidak menyalurkan dana untuk tujuan tidak baik – Gambar Facebook, 5 November, 2023

“Kalau confirm (sah) syarikat yang mereka bekerja (sekarang) menyumbang dana kepada Israel, pekerjanya memang wajib untuk cari pekerjaan lain kerana kalau kita masih bekerja di situ, kita ibarat ada ‘share’ (bahagian).

“Tetapi kalau dalam keadaan ‘darurat’ yang boleh menyebabkan mereka atau keluarga mereka tidak dapat makan (jika berhenti tanpa mendapat pekerjaan baharu), keadaan ini terpaksa dimaafkan.

“Pada masa sama, individu berkenaan harus berusaha bersungguh-sungguh mencari pekerjaan lain untuk berhenti daripada terus berkhidmat dengan syarikat sedang mereka bekerja, memandangkan ternyata ia memberi bantuan dana kepada Israel,” katanya kepada Scoop.

Sementara itu, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar senada dengan Mohamad Shukri apabila menegaskan, pekerja yang mencari rezeki bersama syarikat atau perkhidmatan yang ‘bersekongkol’ dengan Israel, harus mencari punca pendapatan lain bagi membolehkan mereka berhenti daripada kerja semasa.

“Ini kerana tidak boleh ‘bersubahat’ dengan kekejaman rejim Zionis yang terus-terusan membunuh saudara seagama di Palestin.

“Kewajipan kita sebagai umat Islam adalah menentang penindasan dilakukan rejim Zionis. Dalam konteks pekerja, mereka wajib mencari pekerjaan lain kerana jika terus bekerja di situ, ia ibarat membantu Israel membeli peluru untuk membunuh saudara kita di Palestin.

“Mereka perlu berhenti dan bersedia hilang pekerjaan dengan cara kena ada niat untuk cari kerja lain, tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa mereka. Namun apa yang penting, niat itu mesti kena ada,” katanya.

Selain itu, Bungsu menasihatkan rakyat Malaysia agar terlebih dahulu mengkaji syarikat mana yang benar-benar membantu memberi dana kepada Israel, tanpa sewenang-wenangnya memboikot organisasi tidak berkaitan.

Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar menasihatkan rakyat Malaysia agar terlebih dahulu mengkaji syarikat mana yang benar-benar membantu memberi dana kepada Israel, tanpa sewenang-wenangnya memboikot organisasi tidak berkaitan – Gambar laman web Mufti Sabah, 5 November, 2023

“Saya juga nak ingatkan dalam keghairahan dan semangat nak boikot, rakyat Malaysia kena sentiasa buat kajian untuk pastikan hanya syarikat yang membantu beri dana kepada Israel diboikot.

“Jangan aniaya mana-mana syarikat atau organisasi yang tidak ada kena-mengena sebab kadang-kadang, memang ada jenis peniaga menggunakan taktik sebegini bagi melariskan jualan mereka, sehingga menutup periuk nasi peniaga lain,” katanya.

Kempen memboikot barangan dan perkhidmatan didakwa menyalurkan dana kepada Israel giat dilakukan rakyat Malaysia secara besar-besaran, sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini berdepan peperangan dengan Israel.

Malah, kesannya dapat dilihat apabila sambutan terhadap beberapa perniagaan dan perkhidmatan yang menyalurkan dana kepada Israel, termasuk restoran makanan segera serta francais minuman terkenal sangat hambar dan kurang dikunjungi pelanggan.

Sehingga kini angka kematian orang awam di Palestin dilaporkan mencecah lebih 9,200 dalam konflik yang tercetus sejak 7 Oktober lalu.

Jumlah penduduk di negara berkenaan yang cedera pula adalah lebih 23,500 orang. – 5 November, 2023

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related