KUALA LUMPUR – Jam tangan Rolex milik mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang telah dilelong sebelum ini, kini menjadi milik seorang pembida dari Pasir Gudang, Johor, yang membida pada harga RM135,000.
Pembida berkenaan yang menamakan dirinya sebagai ‘Hamba Allah’ membuat bidaan terbabit pada tujuh minit sebelum bidaan ditutup pada tengah malam.
Perkara berkenaan didedahkan oleh Zulkifli, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menerusi hantaran di platform X.

Tambahnya, pembida itu membuat bidaan berkenaan kerana jam Rolex itu adalah derma kurniaan Raja Arab Saudi dan demi Palestin.

“Seutas Rolex untuk Palestin bertukar pemilik Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang “Hamba Allah” daripada Pasir Gudang, Johor.
“Saya tanya kepada beliau, “Mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada 7 minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?” Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin,” katanya.
SEUTAS ROLEX UNTUK PALESTIN BERTUKAR PEMILIK
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) November 1, 2023
Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang “Hamba Allah” daripada Pasir Gudang,… pic.twitter.com/7degR9hzwC
Zulkifli membuka bidaan itu beberapa hari lalu pada harga RM40,000 dengan kenaikan bermula RM100 ke atas, bertujuan menyumbangkan hasil tawaran terbabit untuk Palestin
Zulkifli turut memberitahu, beliau kini dalam perjalanan ke Abu Dhabi untuk menghadiri mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar dan akan singgah ke Jordan untuk menyerahkan sendiri RM100,000 kepada pelarian Palesti di Amman, Palestin, menerusi Muslim Care Malaysia.
“Baki RM35,000 akan diserahkan bermula esok (hari ini) kepada lapan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction.
“Sehingga saat ini, Palestin masih berdarah. Terbaharu saya terima info, kem pelarian Palestin di Jabalia pula dibom tentera Zionis Israel. Semoga ini menjadi sejuzuk kecil saksi pengorbanan kecil kami untuk Palestin,” katanya. – 2 November, 2023