MYAirline sedang berunding dengan dua pelabur berpotensi

Syarikat itu juga sedang berusaha keras untuk memuktamadkan pakej pemodelan semula bagi memulihkan operasinya

8:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) menerima lebih 15 cadangan daripada pelabur berpotensi, dengan dua daripadanya sedang dalam rundingan lanjut.

MYAirline menerusi satu kenyataan memaklumkan, syarikat itu juga sedang berusaha keras untuk memuktamadkan pakej pemodelan semula bagi memulihkan operasinya.

“Ini akan memudahkan pembayaran balik wang kepada penumpang yang terjejas serta pembayaran gaji dan yuran berkanun,” katanya.

Pada masa sama, syarikat itu turut memaklumkan sudah membalas notis tunjuk sebab daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, mereka memberi maklum balas secara rasmi kepada CAAM dan MAVCOM masing-masing pada 25 dan 27 Oktober lalu.

Mengenai kakitangannya, MYAirline berkata, tiada seorang pun yang ditamatkan perkhidmatan atau diarahkan mengambil cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lalu sehingga sekarang.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan kami dan kami ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa kami melakukan segala-galanya untuk menangani masalah itu.

“Kami akan menggalakkan kakitangan untuk bekerjasama dengan kami dalam tempoh sukar ini kerana kami mengutamakan kepentingan terbaik mereka,” katanya.

Sementara itu, MYAirline berkata, “Tabung Ihsan” ditubuhkan bagi mengumpul derma secara dalaman untuk kakitangan paling terjejas disebabkan penggantungan operasi syarikat tersebut.

Katanya, syarikat itu turut memeterai perjanjian dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memohon Skim Insurans Pekerja bagi meringankan beban kewangan kakitangannya.

Tambahnya lagi, syarikat itu juga memberi jaminan kepada penumpang terjejas bahawa mereka akan “membuat pembayaran balik” sebaik sahaja pelabur baharu mengeluarkan pakej permodalan semula.

“Kami menerima lebih 30,000 panggilan dan e-mel yang sedang diuruskan oleh pasukan khidmat pelanggan kami.

“Kami akan terus menyediakan maklumat balas terkini kepada penumpang dan pihak berkepentingan jika ada,” katanya.

Pada 12 Oktober, MYAirlines membuat pengumuman mengejut bahawa ia telah menggantung operasinya berkuat kuasa pada hari yang sama, memetik tekanan kewangan.

Sebelum itu, syarikat penerbangan itu, yang baru dilancarkan pada Januari 2021, telah mengumumkan rancangan untuk laluan baharu dan memajak lebih banyak pesawat.

Setakat ini, beberapa individu termasuk pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline, Datuk Allan Goh Hwan Hua, isteri dan anak lelakinya, ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Allan Goh yang juga pemegang saham dalam syarikat pembangunan laman sesawang dan aplikasi, I-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM), dikenakan kompaun oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana menerima deposit tanpa lesen. – 31 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related