KUALA LUMPUR – Di sebalik menyediakan kemudahan perpustakaan digital, Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri yang mula beroperasi dua minggu lalu menjadi lokasi terbaharu program kelas tuisyen percuma bagi pelajar kurang berkemampuan.
Pengerusi Persatuan Tuisyen Anak Malaysia (PTAM), Mohd Zaid Zulkafli berkata, perpustakaan digital itu merupakan lokasi keempat inisiatif program tuisyen percuma berkenaan.
“Kita lihat ada peluang untuk manfaatkan kewujudan Pustaka KL Digital Madani dan banyak kelas di dalamnya tidak digunapakai walaupun persekitaran disediakan sangat kondusif.
“Jadi kita gerakkan program tuisyen percuma dengan menggunakan Pustaka KL Digital Madani sebagai kelas tambahan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beri sokongan dan kelulusan untuk menggunakannya.
“Pustaka KL Digital Madani ini adalah pusat keempat kita untuk kelas tambahan ini yang mana sebelum ini sudah dijalankan di Pustaka KL @Medan Idaman di Wangsa Maju; Pustaka KL @Lembah Pantai dan Pustaka KL di Batu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, pihaknya mengambil inisiatif mewujudkan modul satu konsep tuisyen yang tidak menetapkan sebarang syarat kepada pelajar.
“Wakil rakyat kawasan akan bantu buat hebahan. Sekarang ini tumpuan kita kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima, fokus kepada subjek teras seperti Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Kita ikut silibus sekolah sebab kita gunakan cikgu sekolah. Silibus di sekolah dan tuisyen di sini akan seiring dan sama. Sebagai contoh kelas di Pustaka KL Wangsa Maju diadakan hampir setiap hari dari jam 3 hingga 6 petang, malah ada juga kelas untuk murid Tahun Enam di situ,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan data jumlah pelajar yang layak mengikuti tuisyen percuma di Pustaka KL Digital Madani @Bandar Sri Permaisuri.
“Ada lebih kurang 80 pelajar kurang berkemampuan di kawasan ini. Senarainya akan ditapis pemimpin kawasan, jadi kita hadkan satu kelas 30 orang. Kalau lebih pelajar kita tambah kelas dan tambah guru,” katanya.
DBKL menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menyediakan pustaka digital.
Kemudahan itu adalah projek di bawah tanggungjawab sosial korporat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk DBKL, melalui perjanjian yang ditandatangani pada 2013.
Untuk rekod, pihak MRCB membina dua perpustakaan, iaitu Pustaka KL @Lembah Pantai dan Pustaka KL @Medan Idaman masing-masing pada 2015 dan 2017. – 31 Oktober, 2023