KUALA LUMPUR — 12 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR menjelaskan bahawa kenyataan media mengenai Minggu Solidariti Palestin di sekolah sebelum ini telah disalah tafsir kerana apa yang disuarakan adalah mengenai kebimbangan terhadap unsur keterlaluan dalam program berkenaan, bukannya penentangan terhadap Palestin dan menyokong Israel.
Malah kata kumpulan itu, ada antara mereka yang telah menyatakan pendirian menentang kezaliman Israel di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pentas antarabangsa.
“Kami ingin menegaskan pendirian yang tidak berganjak dan mendukung sepenuhnya pendirian Kerajaan Malaysia yang menentang kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin dalam konflik di Timur Tengah,’’ kata kumpulan itu dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semula hari ini.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; Adun Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Adun Rawang, Chua Wei Kiat; Adun Semanbu, Chan Chun Kuang; Adun Simpang Pulai, Wong Chai Yi; Adun Chuah, Yew Boon Lye; Adun Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Adun Kajang, David Cheong Kian Yong; Adun Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan Adun Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai.
Susulan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam reaksinya kurang selesa dengan tindakan 12 wakil rakyat PKR menggunakan terma seperti dendam, kebencian dan keganasan sebagai asas kebimbangan serta bantahan terhadap Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM).
Minggu Solidariti Palestin dilaksanakan bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.
Mengulas lanjut, kumpulan 12 Ahli Parlimen dan Adun tersebut berkata, dakwaan Takiyuddin yang menyamakan kenyataan mereka dengan propaganda media barat adalah dangkal serta berniat jahat.
“Ia hanya mencerminkan pendekatan politik sempit iaitu sebarang cadangan konstruktif akan dilabelkan sebagai pendukung pihak lain.
“Perjuangan Palestin bukan perjuangan agama sahaja, tetapi juga merupakan perjuangan kebebasan dan hak rakyat yang tertindas. Maka penting untuk kita mewujudkan wacana yang konstruktif supaya dapat memperluaskan sokongan daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia dan peringkat antarabangsa,’’ katanya.
Kumpulan terbabit turut berasa hairan kenapa Takiyuddin tidak pernah memuji tindakan kerajaan dalam menangani kezaliman Israel namun kini cuba mencetuskan polemik dengan dakwaan yang tidak berasas.
“Mujurnya Keadilan tidak mengambil pendekatan mirip fasisme dalam menangani isu ataupun menguruskan perbedaan pendapat, apatah lagi isu yang menggores hati kita semua.
“Pendirian tegas kami ialah tidak akan menyokong sebarang gerakan apartheid,’’ katanya. – 30 Oktober, 2023