KUALA LUMPUR – Cadangan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion untuk pembinaan semula lima stesen LRT3 akan memenuhi keperluan infrastruktur dan digunakan untuk bidang keutamaan tertentu di bawah skop projek yang diluluskan, jelas Prasarana Malaysia Bhd.
Pengendali sistem perkhidmatan pengangkutan awam negara itu berkata, peruntukan tersebut meliputi pelbagai aspek projek, yang sebelum ini dibatalkan pada 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jawapan Prasarana itu adalah bagi menjelaskan salah anggap mengenai kos pembinaan setiap stesen yang dianggarkan hampir RM1 bilion.
Kelima-lima stesen terbabit adalah Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Sebahagian daripada peruntukan tersebut, kata Prasarana kepada Scoop akan digunakan untuk pembinaan fizikal dan peruntukan untuk menyokong lima stesen, termasuk bekalan kuasa, pengedaran dan sistem komunikasi.
“(Peruntukan itu juga untuk) perolehan tiga set keretapi tambahan bagi mengekalkan masa tiga minit untuk LRT3, memandangkan perjalanan antara keretapi dari hujung ke hujung akan mengambil sedikit masa disebabkan tambahan stesen.
“Kita juga perlu memperluaskan depot keretapi, yang melibatkan penambahan landasan yang baharu meliputi kerja-kerja landasan pengalir kuasa, sistem kawalan dan isyarat, peralatan depot serta penyelenggaraan.’’
Selain itu, Prasarana juga merancang untuk memasang Platform Screen Door System untuk semua 25 stesen bagi meningkatkan keselamatan penumpang selaras dengan amalan keretapi bandar.
Kos lain termasuk melibatkan Jurutera Perunding Bebas (ICE), pengurusan projek, yuran kepada pihak berkuasa tempatan dan penyedia perkhidmatan, duti dan cukai, faedah semasa pembinaan, insurans serta yuran guaman.
Sementara itu, peruntukan itu juga akan digunakan untuk pelbagai perbelanjaan lain bagi membina semula lima stesen, termasuk bayaran kepada pengambilan tanah di bawah skop kerja dan pembinaan depot bas sepanjang laluan LRT3 untuk kegunaan 25 stesen.
Perbelanjaan lain termasuk pembayaran kepada kos tambang yang ditanggung untuk premium insurans dan yuran ICE susulan lanjutan masa untuk menyiapkan kerja akibat pandemik Covid-19 dan pembangunan sistem Kutipan Tambang Automatik.
Prasarana menambah, kos akhir projek hanya akan diketahui apabila kos pembinaan sebenar semua elemen terbabit ditetapkan.
“Ia adalah berdasarkan kepada anasilis dan nasihat daripada ICE untuk memastikan mengoptimumkan kos.”
Prasarana juga menyatakan ia mensasarkan untuk menyambung semula kerja-kerja di stesen terbabit menjelang akhir tahun ini, selepas semua kerja-kerja awal telah selesai dan kelulusan yang diperlukan sudah diperolehi.
Projek terbabit, katanya, dijangka siap menjelang suku pertama 2027.
“Perlu diingatkan bahawa pembinaan semula lima stesen ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan keretapi yang dijadualkan untuk 20 stesen. Sasaran Tarikh Perkhidmatan Hasil 1 bagi 20 stesen ini kekal hingga Mac, 2025.’’
Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun membangkitkan mengenai kos projek tersebut dengan membandingkan projek LRT Pulau Pinang, iaitu 23 stesen dianggarkan RM10 bilion sedangkan kos membangunkan semula lima stesen itu adalah RM4.7 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2024 pada 13 Oktober telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini.
Ketika tinjauan Scoop di kawasan Tropicana, penduduk menyambut baik cadangan kerajaan untuk meneruskan lima stesen LRT3 itu supaya mereka mempunyai akses kepada pengangkutan awam tambahan selain perkhidmatan bas. – 30 Oktober, 2023