Perjanjian air Malaysia-Singapura: Tangguh tak beri keuntungan, mempercepatkan boleh tingkat harga bekalan: PM

Malaysia dan Singapura mahu menyelesaikan isu tersebut dengan segera mungkin mengikut kemampuan kedua-dua negara

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura komited menyelesaikan isu air yang tertangguh demi kepentingan rakyat di kedua-dua negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menangguhkan isu perjanjian air Malaysia-Singapura tidak akan memberi keuntungan kepada negara.

Sebaliknya, katanya, penyelesaian segera itu membolehkan kadar harga bekalan air ke negara jiran itu boleh ditingkatkan.

“Menangguhkan itu (isu perjanjian air) tak beri keuntungan kepada kita. Menangguhkan itu, maknanya harga air itu masih kekal lama.

“Mempercepatkan itu maknanya ada keupayaan untuk meningkatkan sedikit kos harga air dan juga kesediaan Singapura untuk bersama menyelenggarakan projek di sungai Johor yang memerlukan juga suntikan kewangan dari Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10 di Singapura, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rundingan air antara Malaysia-Singapura sudah dicapai malah kedua-dua negara boleh menyegerakan kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai-sungai dan kapasiti pengeluaran air di Johor.

“Tapi ini kita akan bincang bersama dengan kerajaan Johor. Isu itu memerlukan kesediaaan Johor untuk melebar, memperkuat dan memperbaiki keupayaan pengeluaran air yang akan memberi manfaat dan memenuhi keperluan rakyat Johor dan juga kepada Singapura.

“Memang kita terikat dengan perjanjian lama tetapi kesediaan Singapura untuk membantu dalam penyelenggaraan ini bersama dengan Johor, itu amat kita alu-alukan,” katanya.

Perjanjian Air 1962 itu yang tamat tempohnya pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengambil sehingga 250 juta gelen air sehari (mgd) dari Sungai Johor.

Ketika ini, Singapura membayar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual air yang dirawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen air, yang membentuk sebahagian kecil daripada kos merawat air tersebut.

Sementara itu, Johor berhak mendapat bekalan air terawat sehingga dua peratus daripada air yang dibekalkan ke Singapura sehari.

Dalam pada itu, Hsien Loong turut berkata, Singapura dan Malaysia mahu menyelesaikan isu tersebut dengan segera mungkin mengikut kemampuan kedua-dua negara.

“Anwar dan saya berhasrat menyelesaikan isu ini segera mungkin. Ia adalah perkara yang kita boleh jelaskan kepada rakyat.

“Ada sesetengah perkara tidaklah terlalu konvensional sepertimana yang kita fikirkan sebelum ini. Ia adalah perkara yang memerlukan pandangan secara menyeluruh. Dan ia akan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya. – 30 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related