KUALA LUMPUR – Ritzy Gloss Sdn Bhd, pemaju hartanah yang terlibat dalam pembangunan semula berbilion ringgit di Kg Sg Baru, mungkin tidak lama lagi berdepan dengan saingan daripada beberapa pemaju yang berminat untuk mengambil alih projek terbabit, sekali gus berpotensi mengubah hala tuju masa depan projek itu.
Menurut pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru, Lele Suzana, beberapa syarikat pemaju telah menyatakan minat untuk mengambil alih projek berkenaan.
Projek tersebut hangat diperkatakan pada 2021 apabila penduduk tempatan menyatakan kebimbangan susulan kelulusan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
Kelulusan itu membolehkan Ritzy Gloss menggunakan Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960 untuk mengambil alih tanah di sekitarnya, untuk meneruskan projek pembangunan semula.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemaju yang berminat untuk mengambil alih projek pembangunan semula Kg Sg Baru dari Ritzy Gloss, termasuk membayar kos yang telah dibelanjakan syarikat terbabit,’’ kata Lele pada sidang media di sini hari ini.
“Pemaju yang berminat itu turut bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak RM950 kaki persegi kepada pemilik teres dan pangsapuri, iaitu jumlah yang lebih tinggi berbanding RM450 kaki persegi yang ditawarkan oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.
“Pemaju-pemaju tersebut juga akan memberikan pampasan meliputi pemilik-pemilik yang menerima warta, pemilik-pemilik yang tidak menerima warta dan pemilik-pemilik yang telah menandatangani persetujuan bersama Ritzy Gloss,’’ katanya.
Lele yang enggan mendedahkan nama syarikat yang berminat itu, bagaimanapun berkata, jika ia berjaya diserahkan oleh Ritzy Gloss, pihak yang baru itu bersetuju membenarkan penduduk menetap di situ sehingga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan cadangan pembangunan berkenaan.
“Mereka juga menyatakan akan memberikan notis awal dua bulan sebelum berpindah bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan,’’ tambah Lily.
Beliau juga berkata, jawatankuasa terbabit juga akan menghantar surat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk membuka siasatan berhubung proses penilaian tanah Kg Sg Baru.
Sambil meminta kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik penggunaan LAA bagi membolehkan perbincangan mengenai kemungkinan syarikat lain mengambil alih projek terbabit, Lele menegaskan kebajikan penduduk akan diketepikan selagi warta berkenaan dikuatkuasa.
“Pewartaan rumah kami di bawah LAA adalah sesuatu yang tidak boleh disuarakan, apatah lagi selepas ia dilaksanakan ketika negara berada di bawah perintah berkurung susulan pandemik Covid-19.
“Perdana Menteri yang telah menunjukkan komitmen dalam membanteras rasuah dan pelaksanaan tadbir urus yang baik, perlu melihat perkara ini secara serius.
“Kami bersedia untuk bekerjasama jika siasatan telus diadakan berhubung proses pengambilan tanah di bawah LAA yang tidak mendapat kelulusan Parlimen.
Turut hadir pada sidang media itu adalah bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad, yang menyatakan Anwar perlu mengambil keputusan ‘berani’ dalam usaha melindungi kepentingan penduduk.
“Pada hari pertama selepas (Anwar) dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, saya memaklumkan kepadanya bahawa beliau perlu menarik balik warta pengambilan tanah di Kg Sg Baru.
“Saya maklumkan kepada Anwar bahawa beliau perlu lebih berani dari (bekas Menteri Wilayah) Tan Sri Annuar Musa, yang meluluskan LAA dalam keadaan luar biasa bagi membolehkan projek swasta, tidak melibatkan pembangunan kemudahan awam, berlaku.
“Bagaimana rundingan boleh diadakan jika tanah penduduk telah diambil di bawah LAA? Perdana Menteri perlu mengambil langkah untuk mengelak daripada berlakunya ‘precedent’ yang membahayakan?,’’ soal Khalid.
Beliau turut meminta Anwar berbincang dengan penduduk bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi terbabit agar Perdana Menteri tidak membuat keputusan berdasarkan satu pihak, sambil berkata:
“Jangan hanya dengar apa yang Perbadanan Kg Baru atau pihak lain katakan.’’
Terdahulu, pakar kerajaan tempatan, Derek Fernandez berkata, pengambilan tanah menggunakan Seksyen 3(1)(c) akta terbabit harus mengikut sekatan dan syarat di bawah Seksyen 3(2) dan Seksyen 3(6) akta sama.
Jika gagal berbuat demikian, Derek berkata, ia akan mencetuskan keraguan sama ada penduduk terpaksa mematuhi notis pengusiran yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur, dengan terbaru mereka diminta mengosongkan rumah pada 19 Oktober lalu.
Walaupun penduduk terselamat daripada pengusiran ketika itu dan Setiausaha Politik Anwar mengesahkan dengan Scoop bahawa tarikh berpindah dilanjutkan semula kepada 31 Oktober, namun ia tidak menghapuskan kebimbangan penduduk berhubung isu berbangkit.
Malah seorang warga emas yang berusia 76 tahun, menyifatkan hukuman penjara lebih ringan jika dibandingkan dengan seksaan mental yang dialaminya disebabkan pemaju tidak mempunyai belah ihsan terhadap mereka.
Scoop sebelum ini telah menemubual penduduk Kg Sg Baru, Khalid dan peguam yang mewakili jawatankuasa tersebut. – 29 Oktober, 2023