Krisis ekonomi dunia punca kenaikan harga bahan binaan, Malaysia tidak terkecuali

Sejak 2018 sehingga 2023, berlaku peningkatan harga bahan binaan seperti simen, besi dan pasir disebabkan oleh krisis ekonomi dunia

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pemain dalam industri pembinaan mengakui krisis ekonomi yang merentasi sempadan dunia telah menyebabkan kenaikan harga bahan binaan, dengan Malaysia tidak terkecuali daripada kenaikan terbabit.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Melayu Malaysia (PKMM) Kedah, Mohammad Fauzee Mohamad berkata, krisis ekonomi dunia itu telah menyebabkan harga bahan binaan di negara ini mengalami kenaikan sehingga 30%.

Malah katanya, sejak 2018 sehingga 2023, berlaku peningkatan harga bahan binaan seperti simen, besi dan pasir setiap tahun.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Melayu Malaysia (PKMM) Kedah, Mohammad Fauzee Mohamad berkata ada antara kontraktor yang ‘angkat tangan’ tanda menyerah kerana tidak mampu bertahan lagi dengan kenaikan bahan mentah. – Gambar dari Facebook PKMM Kedah, 30 Oktober, 2023

“Sebagai contoh, pada 2018, harga simen adalah sekitar RM13 ke RM14 sekampit, sekarang ini (2023) mencecah sehingga RM22.50. Kalau besi pula, RM2,800 (2018) untuk satu tan berbanding tahun ini iaitu RM3,800 manakala bagi pasir, untuk satu ela berharga RM40 namun untuk tahun ini, harganya mencecah sehingga RM50.

“Perkara ini menyebabkan ramai kontraktor ‘angkat tangan tanda menyerah’ dan mahu mengembalikan projek yang mereka dapat kerana tidak mampu bertahan selain tidak dapat menyiapkan kerja mengikut kontrak yang ditetapkan,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenaikan harga bahan binaan ketika ini disebabkan kenaikan harga di pasaran global. Sebagai contoh, kos pembinaan semula lima stesen Transit Aliran Ringan (LRT) 3. Ada pihak yang mempertikaikan kos pembinaannya iaitu RM4.7 bilion.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin telah membangkitkan di Parlimen sama ada kos itu akan disuntik dengan bajet tambahan dari kerajaan selain implikasi kewangan yang akan terlibat dalam meneruskan semula lima stesen LRT3 itu. – Gambar tangkap layar, 30 Oktober, 2023

Malah Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 ingin mengetahui jika kos itu akan disuntik dengan bajet tambahan dari kerajaan selain implikasi kewangan yang akan terlibat.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), harga seunit simen bagi tempoh September 2022 dan September 2023 mencatatkan peningkatan antara 2.8 % dan 26.4 % bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kecuali bagi Sibu dan Miri.

Peningkatan tertinggi indeks harga seunit simen adalah kawasan Kelantan dan Terengganu (26.4%), diikuti Pulau Pinang, Kedah serta Perlis (23.5%).

Rehda berkata kos bahan binaan telah mengalami kenaikan sehingga 15% bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini melibatkan harga purata simen, konkrit dan pasir. – Alif Omar/Scoop, 30 Oktober, 2023

Ketika pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Pembinaannya dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.

Ketika pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik. – Abdul Razak Latif/Scoop, 30 Oktober, 2023

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembinaan LRT3 itu, Fauzee berkata, pendekatan Anwar dalam pembinaan semula pengangkutan awam tersebut dilihat lebih menjimatkan perbelanjaan negara.

“Ia hanya berjumlah RM4.7 bilion, berbanding peruntukan yang diumumkan pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu RM9 billion pada 2015 dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (RM16.63 billion).

“Kalau dibahagikan mengikut stesen, projek ini menelan kos kira-kira RM940 juta bagi setiap stesen,’’ katanya.

Jumlah kos keseluruhan projek LRT3 pada 2018 adalah RM31.65 bilion namun ia dikurangkan kepada RM16.63 bilion.

Purata Harga Bar Keluli, Malaysia dari Januari 2022 – September 2023. – Data dari Pejabat Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, 30 Oktober, 2023

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk NK Tong berkata, kos bahan binaan telah mengalami kenaikan sehingga 15% bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini melibatkan harga purata simen, konkrit dan pasir.

Kenaikan itu, katanya dikenalpasti menerusi hasil Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2023, Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2023 yang dilaksanakan oleh persatuan tersebut.

“Hasil kajian kita daripada jumlah keseluruhan ahli iaitu 148 orang, 87%  responden bersetuju kenaikan harga bahan binaan lebih tinggi pada 2023 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Lebih 10 peratus kenaikan tahunan dalam harga purata bagi simen, konkrit dan pasir. Peningkatan harga simen meningkat sehingga 21 peratus, konkrit (13 peratus) dan pasir (11 peratus),” katanya.

Purata Harga Simen Malaysia dari Januari 2022 – September 2023. – Data dari Pejabat Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, 30 Oktober, 2023

Mengulas lanjut, Tong berkata, kenaikan itu memberi kesan negatif kepada harga hartanah, namun peningkatan harganya terletak kepada keupayaan pemaju menyerap peningkatan kos dan kemampuan rakyat untuk menerima kenaikan harga.

Jelasnya, majoriti pemaju hartanah telah menjangkakan peningkatan harga bahan binaan dan mengambil langkah untuk memastikan impak kos terkawal, termasuk mengoptimumkan reka bentuk dan penggunaan teknologi dengan menawarkan hartanah yang memenuhi permintaan pasaran.

“Hasil penyelidikan Rehda juga mendapati pemaju neutral terhadap tinjauan industri bagi separuh kedua 2023 selain turut optimis bagi separuh pertama 2024, di mana 53% akan melancarkan projek baharu dengan harga yang yang lebih murah, iaitu antara RM150,001 hingga RM300,000.

“Pada masa sama, inisiatif mesra rakyat yang diumumkan kerajaan sebelum ini dijangka menyokong belian hartanah meskipun berhadapan dengan persekitaran mencabar ekoran jangkaan kenaikan harga bahan mentah berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Tong berkata, projek baharu yang dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini membuktikan bahawa pasaran hartanah sedang kembali normal walaupun ia berlaku secara perlahan.

“Pelbagai langkah kerajaan seperti menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), pengenalan Skim Perumahan Madani dan pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengenai cadangan Tabung Perumahan Negara dilihat bakal memberikan hasil positif kepada sektor hartanah

“Bagaimanapun, pemulihan sebenar masih belum dapat dicapai ekoran pemaju masih bergelut dengan cabaran yang masih belum ditangani dengan sewajarnya seperti kenaikan harga bahan, subsidi silang serta pematuhan yang tinggi dan kos utiliti,” katanya.

Rehda berkata majoriti pemaju hartanah telah menjangkakan peningkatan harga bahan binaan dan mengambil langkah untuk memastikan impak kos terkawal. – Abdul Razak Latif/Scoop, 30 Oktober, 2023

Sementara itu, Penolong Juruukur Bahan Kanan, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Norazilan Mazahar menggesa kerajaan menjadikan bahan binaan sebagai barang kawalan bagi memastikan harganya sentiasa terkawal dan stabil.

Menurut beliau, kenaikan harga bahan binaan menyebabkan proses kemajuan kerja menjadi perlahan kerana kontraktor amat berhati-hati membeli bahan binaan utama bagi mengelakkan kerugian besar.

“Dalam hal ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau persatuan kontraktor perlu mencari idea bagi mengatasi masalah ini (kenaikan harga). – 30 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related