KUALA LUMPUR – Pembikinan Maryam Pagi Ke Malam bukan untuk tayangan di pawagam, sebaliknya untuk menyertai festival filem antarabangsa.
Itu penjelasan diberikan pengarahnya, Badrul Hisham Ismail kepada Scoop berhubung isu filem berkenaan mendapat dana Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative), tetapi tidak melalui Lembaga Penapis Filem (LPF).
Katanya, pihak produksi menerima dana RM400,000 yang sememangnya khusus untuk filem seni ditayang di festival filem antarabangsa.
“Dana RM400,000 kami (pihak produksi) terima ketika Covid-19 melanda, antara insentif kecemasan diberikan kepada penggiat seni bagi menerbitkan karya. Kami dapat dana khusus untuk filem seni yang akan ditayangkan di festival filem antarabangsa, bukan untuk tayangan di pawagam.
“Peruntukan menerusi Geran Pemulihan Industri Kreatif – Filem Cereka Seni atau Festival yang diperkenalkan pada 2020 ini, tidak mewajibkan filem di bawah skim terbabit untuk melalui LPF sebelum ia ditayangkan di mana-mana platform.
“Kami memilih untuk tidak melalui LPF dan itu menyebabkan filem ini tidak masuk ke pawagam. Berdasarkan banyak (penerbitan) filem yang dipotong (sebelum ini), saya percaya Maryam Pagi Ke Malam bukan satu subjek mudah. Ada beberapa isu kami sentuh, saya percaya akan dipotong LPF,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative menawarkan Dana Kandungan Digital (DKD) kepada penggiat industri seni, termasuk pihak produksi filem.
Namun, penghasil filem yang menerima dana kerajaan itu, didakwa sepatutnya perlu mengikut prosedur, termasuk kandungan rakamannya ditapis LPF.
Justeru, tanpa melalui LPF, ia dikatakan sebagai punca Maryam Pagi Ke Malam tidak dapat ditayangkan secara meluas di pawagam di Malaysia.
Mengulas lanjut, Badrul berkata, pemotongan babak filem di Malaysia disebabkan negara ini, tiada sistem rating seperti di Singapura yang mengklasifikasikan karya terbabit hanya boleh ditonton individu berusia 21 tahun dan ke atas.
“Disebabkan itu, kami ambil langkah tidak hantar kepada LPF (sekali gus tidak akan ditayangkan di mana-mana pawagam di Malaysia),” katanya.
Maryam Pagi Ke Malam yang diterbitkan Anomalous Film, terpilih menyertai Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) pada 1 Disember ini.
Ia adalah penyertaan festival filem antarabangsa ketiga selepas karya itu turut ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR), selain Festival Filem Asia Barcelona pada awal tahun ini.
Filem menjalani penggambaran 11 hari pada Jun tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur itu, membariskan pelakon hebat, seperti Datin Sofia Jane, Susan Lankester, Vanida Imran, Omar Abdullah, Pekin Ibrahim, Azman Hassan dan Taqim Zaki, dengan skripnya ditulis Faisal Tehrani serta Badrul sendiri.
Karya itu mengisahkan mengenai individu bernama Maryam, seorang pemilik galeri berusia 50 tahun yang lahir daripada keluarga bangsawan.
Dia mahu berkahwin dengan seorang lelaki muda warga asing yang berasal dari Sierra Leone.
Bagaimanapun, Maryam perlu menghadapi pelbagai cabaran daripada keluarga, sistem birokrasi syariah dan masyarakat, sehingga menimbulkan persoalan kenapa jalannya begitu sulit untuk dia berkahwin? – 29 Oktober, 2023