Fahmi santuni bekas pengamal media Joseph Bingkasan, penerima Tabung Kasih@Hawana

Joseph yang disahkan menghidap penyakit kanser itu sejak 2014 turut berdepan dengan masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi

8:19 PM MYT

 

KOTA KINABALU – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menyantuni bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak Joseph Bingkasan yang bertarung dengan kanser tulang di kediamannya di Kampung Kionsom, Inanam, dekat sini.

Dalam kunjungan itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Joseph, yang merupakan penerima ke-24 tabung tersebut, bagi membantu meringankan beban beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Fahmi berkata Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

“Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak 14 April 2023 sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

“Program ini akan terus dilaksana kepada golongan wartawan yang memerlukan…Perdana Menteri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan program ini,” katanya.

Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Datuk Peto Galim untuk terus membantu Joseph.

Sementara itu, Joseph berterima kasih kerana dipilih untuk menerima bantuan daripada program berkenaan, malah terharu kerana Fahmi sendiri datang ke rumahnya untuk bertemu walaupun keadaan jalan yang teruk menuju ke rumahnya.

“Saya juga berharap kehadiran menteri dan ADUN Inanam dapat mempercepatkan untuk menaik taraf jalan masuk ke sini…jalan yang teruk memberikan kesukaran kepada kami. Minggu lepas, bapa saya sakit dan ambulans tidak dapat masuk kerana jalan tidak baik,” katanya.

Joseph, 68, yang disahkan menghidap penyakit kanser itu sejak 2014 turut berdepan dengan masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia kewartawanan, menyertai Kinabalu Sabah Times sebagai penyunting pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah, dan beliau kemudian dipindahkan ke Times of Malaysia London Ltd iaitu Pejabat NST di London.

Sekembalinya dari London, Joseph dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak yang berpusat di Kuching, Sarawak sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat NST di Kuala Lumpur pada 2004. – 28 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related