Aplikasi MYJalan terima 3,403 aduan masalah jalan raya: Alexander

Daripada jumlah itu, hanya 26.8 peratus atau 912 aduan membabitkan jalan kendalian agensi KKR

3:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima 3,403 aduan berkaitan masalah jalan raya, termasuk jalan berlubang dan kerosakan papan tanda menerusi aplikasi MYJalan sejak 1 Ogos hingga 23 Oktober lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, hanya 26.8 peratus atau 912 aduan membabitkan jalan kendalian agensi KKR.

Katanya, manakala selebihnya, iaitu 73.2 peratus (2,491 aduan) adalah berkaitan jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pemantauannya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

KKR tetap menerima semua aduan, termasuk jalan negeri dan PBT, seterusnya memajukan laporan terbabit kepada pihak bertanggungjawab – Gambar KKR, 28 Oktober, 2023

“Bagi 912 aduan membabitkan jalan seliaan agensi KKR, pecahannya adalah 30 peratus atau 275 aduan jalan berlubang; 20 peratus (187 aduan) (lampu jalan); 19 peratus (174 aduan) (jalan rosak); 11 peratus (98 aduan) (lampu isyarat); tujuh peratus (64 aduan) (garisan jalan); lima peratus (49 aduan) (halangan); tiga peratus (23 aduan) (papan tanda); dua peratus (21 aduan) (kemudahan awam); dua peratus (16 aduan) (perabot jalan) dan satu peratus (lima aduan) (tanah runtuh).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 676 aduan diselesaikan agensi di bawah KKR dalam tempoh satu hingga 30 hari, manakala 236 aduan sedang diambil tindakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, statistik itu jelas membuktikan sebahagian besar aduan adalah membabitkan jalan yang bukan di bawah kendalian KKR, namun ia seliaan ‘milik’ kerajaan negeri dan PBT.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya akan terus meningkatkan kerjasama dengan pihak berwajib bagi memastikan aduan melalui aplikasi MYJalan dapat diambil tindakan sewajarnya.

Ujarnya, ia juga bagi mengenal pasti penambahbaikan boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Pihak KKR akan terus meningkatkan kerjasama dengan pihak berwajib bagi memastikan aduan melalui aplikasi MYJalan dapat diambil tindakan sewajarnya – Gambar KKR, 28 Oktober, 2023

“Di bawah dasar ‘No Wrong Door Policy’ diterapkan dalam aplikasi MYJalan, KKR tetap menerima semua aduan, termasuk jalan negeri dan PBT, seterusnya memajukan laporan terbabit kepada pihak bertanggungjawab.

“Langkah berkenaan bertujuan memastikan setiap kerosakan atau isu berkaitan jalan dilaporkan pengguna sampai kepada pihak bertanggungjawab, seterusnya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama kementerian berkaitan dalam bekerjasama secara holistik demi menangani isu berkenaan, selari dengan prinsip ‘whole of Government approach’.

“Saya percaya, isu berkaitan jalan raya boleh dikendalikan lebih baik dan pantas dengan kerjasama rapat antara semua pemegang taruh, terutama KKR, kerajaan negeri, PBT serta pengguna jalan raya sendiri.

“Saya berharap lebih ramai pengguna memuat turun aplikasi MYJalan di Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery kerana ia inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan, di samping meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan mereka,” katanya. – 28 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related