KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak membenarkan sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
KPM menerusi satu kenyataan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur ekstremisme dan keganasan.
Susulan itu, KPM menggesa semua institusi di bawah kelolaannya agar sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan.
“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian.
“Ini termasuk kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin sepanjang pelaksanaan program ini. Ia perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat-menghormati,” katanya.
Sebelum ini, Scoop melaporkan gambar tular yang menunjukkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di Meru, Klang memegang senapang mainan dengan lilitan kepala menyokong perjuangan Palestin hanya simbolik bagi memberi kefahaman visual mengenai erti jihad.
Guru sekolah terbabit yang enggan dinamakan berkata, ia merupakan sebahagian daripada acara sambutan hari sukan tahunan sekolah dan tidak timbul isu menyemai semangat keganasan dalam kalangan murid-murid.
Malah katanya, ia hanya bertujuan memberi pemahaman secara visual kepada murid berkeperluan khas tahun empat, lima dan enam mengenai apa itu jihad.
Mengulas lanjut, KPM berkata, pihaknya mengambil perhatian kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme.
Bagaimanapun katanya, penganjuran program berkenaan adalah di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikut panduan yang ditetapkan kementerian berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah dikawal supaya ia tidak menimbulkan sebarang masalah.
Anwar berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pentadbiran sekolah untuk membuat pertimbangan sewajarnya berhubung program dianjurkan KPM itu. – 27 Oktober, 2023