KUALA LUMPUR – Gambar tular yang menunjukkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di Meru, Klang memegang senapang mainan dengan lilitan kepala menyokong perjuangan Palestin hanya simbolik bagi memberi kefahaman visual mengenai erti jihad.
Guru sekolah terbabit yang enggan dinamakan berkata, ia merupakan sebahagian daripada acara sambutan hari sukan tahunan sekolah dan tidak timbul isu menyemai semangat keganasan dalam kalangan murid-murid.
Malah katanya, ia hanya bertujuan memberi pemahaman secara visual kepada murid berkeperluan khas tahun empat, lima dan enam mengenai apa itu jihad.
“Memegang senjata mainan itu sebenarnya simbolik sahaja, tidak berunsur keganasan. Bukan maksud pegang senjata itu kita berbunuhan, tidak sampai menyemai kefahaman sehingga ke tahap itu.
“Nak visualkan kepada anak-anak PPKI, mereka tidak faham makna jihad secara lisan, bila disebut jihad mereka bertanya jihad itu apa, jadi kita visualkan.
“Kanak-kanak PPKI ini mereka faham kepada perkara yang lebih visual bukan hanya lisan, jadi yang diterjemahkan itu sekadar simbolik sahaja, tidak lebih daripada itu,” katanya kepada Scoop hari ini.
Mengulas lanjut, guru terbabit juga berkata lagu yang dipasang semasa perbarisan itu adalah lagu-lagu jihad Palestin yang viral sekarang ini.
“Lepas itu pun tidak ada kanak-kanak berubah perilaku atau bertindak ganas, jadi kita harap semua pihak jangan salah faham, kami pun tidak rasa ia melampaui batas,” katanya.
Gambar-gambar mengenai murid-murid di sebuah sekolah memegang senjata dan melilit kain di kepala telah tular hari ini sehingga mencetuskan kritikan ramai, kerana ia tidak sesuai untuk pelajar sekolah apatah lagi pelajar membawa senapang mainan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengulas mengenai perkara ini, berkata program bagi memupuk solidariti kepada Palestin yang diadakan di sekolah-sekolah di seluruh negara perlu diuruskan dengan baik.
“Itu kita kena kawal. Tadi kita bincang di Jemaah Menteri, pertama kita tidak galakkan dan paksa semua sekolah (buat Minggu Solidariti Palestin).
“Keduanya kita kena kawal supaya jangan jadi masalah,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak membantah tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.
Ini kerana sekolah sepatutnya memfokus kepada pelaksanaan pendidikan dan pelajar juga tidak seharusnya dilibatkan dalam konflik atau peperangan.
Turut menyuarakan bantahan adalah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang mempersoalkan keperluan menganjurkan program solidariti rakyat Palestin di institusi pendidikan terutama di sekolah.
Malah beliau menegaskan, KPM seharusnya memberi fokus pendidikan kepada pelajar dan bukannya menjadikan sekolah sebagai tempat menganjurkan program sedemikian. – 27 Oktober, 2023