Ahli Parlimen Kuala Kangsar diminta jawab surat tunjuk sebab, Perhimpunan Tahunan Bersatu 23-25 November

Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Iskandar Dzulkarnain perlu menjawab surat itu sebelum sebarang tindakan diambil ke atasnya mengikut Perlembagaan parti

4:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Bersatu sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Iskandar Dzulkarnain perlu menjawab surat itu sebelum sebarang tindakan diambil ke atasnya mengikut Perlembagaan parti.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu turut membincangkan kedudukan Iskandar Dzulkarnain dalam mesyuarat malam tadi yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Bersatu Perak menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti mengenai sebarang tindakan terhadap Iskandar Dzulkarnain.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara oleh pimpinan Bersatu Perak selepas mengadakan pertemuan bersama beberapa Ahli Parlimen dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak serta wakil pimpinan di peringkat bahagian pada 17 Oktober lalu.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Susulan itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang melalui satu kenyataan, mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Dalam perkembangan berasingan, Hamzah berkata, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 akan diadakan pada 23 hingga 25 November ini.

Menurutnya, perkara itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan semalam.

“Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Radzi Jidin.

“Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November, sebelum diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 November,” katanya. – 27 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

Ben Heng — the unspoken driving force behind Malaysia’s bowling success

Malaysia’s national bowlers continue to make history on the world stage, but behind their rise is head coach Ben Heng, whose philosophy and approach have helped shape a new era of success

Related