KUALA LUMPUR — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, berkuatkuasa 31 Januari 2024.
Sementara Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Perkara ini dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
“Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini, telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Darul lman dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.
“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Pemilihan itu diadakan berikutan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama. – 27 Oktober, 2023