Malaysia teroka peluang hantar pensyarah bidang TVET ke Korea Selatan, Turkiye: Zahid

Zahid berkata, usaha itu kerana kedua-dua negara berkenaan adalah antara sumber baharu yang memiliki institusi TVET terbaik dan berpengalaman

8:49 AM MYT

 

LONDON – Malaysia sedang meneroka peluang untuk menghantar pensyarah serta jurulatih, khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mendapatkan Latihan Jurulatih (ToT) ke Korea Selatan serta Turkiye.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua negara berkenaan adalah antara sumber baharu yang memiliki institusi TVET terbaik dan berpengalaman.

Katanya, buat masa ini, kerajaan ada menghantar pensyarah ToT ke Jerman dan Jepun kerana ia mempunyai kekuatan dalam TVET, selain memiliki hubungan yang sangat lama dengan Malaysia.

“… tetapi kita harus meneroka peluang dengan Korea Selatan sebab negara ini mempunyai institusi cukup berpengalaman.

“Turkiye pula memiliki kemahiran tinggi dari segi industri pertahanan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai sesi bual bicara kelolaan Overseas Development Institute (ODI) bertajuk ‘Modal Insan Penggerak Pembangunan Negara: Pandangan Daripada Pendekatan Ekonomi Baharu Malaysia’ di sini.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, dalam Bajet 2024, keterampilan latihan secara profesional diberi satu daripada keutamaan untuk mewujudkan sumber guna tenaga baharu.

ToT, katanya, adalah satu elemen penting dalam mempercepat dan mempertingkatkan latihan serta skil tenaga kerja baharu.

Jelasnya, beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri untuk memperuntukkan sebahagian daripada Bajet 2024 bagi tujuan terbabit.

“Cadangan itu akan diterjemahkan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun hadapan kerana bajet yang disediakan, perlu mendapat penyelarasan bagi tujuan memberi latihan baharu bagi jurulatih dan pensyarah.

“Kami juga akan membuka peluang untuk bakal jurulatih ini belajar mengenai industri baharu, umpamanya aeroangkasa kerana peluang dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) amat besar di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, semasa sesi bual bicara berkenaan, Zahid berkongsikan dengan hadirin mengenai Ekonomi MADANI yang menetapkan agenda inklusif dan dinamik untuk Malaysia.

“Ekonomi MADANI memfokuskan kepada penyusunan semula ekonomi bagi mendukung Malaysia sebagai peneraju di rantau Asia, selain memberi manfaat kepada rakyat untuk kualiti hidup yang lebih baik.  

“Apabila kami menyebut mengenai ekonomi manusiawi dan ekonomi berpaksikan rakyat, inilah yang kami maksudkan, iaitu memberikan sumber, kemahiran serta peluang kepada rakyat bagi memenuhi potensi mereka,” katanya.

Selain TVET, modan insan dan Ekonomi MADANI, beliau menekankan mengenai Malaysia selaku peneraju dalam industri halal dengan pengiktirafan global terhadap produk, perkhidmatan serta pensijilan halalnya.

Pada masa sama, Zahid berkata, Malaysia melihat banyak peluang penting dalam industri itu, termasuk pekerjaan baharu dan pertumbuhan industri yang akan memanfaatkan modal insan, malah ini diterjemahkan menerusi Pelan Industri Halal 2030 yang bermatlamat mengembangkan industri mencapai US$106.1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Beliau sedang dalam lawatan kerja ke United Kingdom dari 25 hingga 28 Oktober, sempena Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC 2023) di London anjuran Halal Development Corporation.

Sempena acara itu, Zahid dijadual merasmi dan menyampaikan ucaptama pada persidangan berkenaan, esok.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, turut akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK, Thérèse Coffey serta Ahli Parlimen UK yang beragama Islam. – 26 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related