Garis panduan perhimpunan aman, strategi inovasi perkhidmatan awam dibincang di Parlimen hari ini

Usai sesi itu, persidangan hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober lepas

8:36 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Garis panduan mengenai sebarang ucapan dalam demonstrasi atau perhimpunan aman dan strategi pengkomersialan dan inovasi (C&I) dalam penyampaian perkhidmatan awam, antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah Kerajaan mengeluarkan sebarang garis panduan berhubung perkara yang boleh dan tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman.

Perkara itu akan diajukan Wan Ahmad Fayhsal pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

R Yuneswaran (PH-Segamat) pula bertanyakan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung strategi C&I yang akan digarap dalam penyampaian perkhidmatan awam ke arah menjadikan Malaysia antara 30 negara terunggul dalam Indeks Inovasi Global menjelang 2025.

Selain itu, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengutarakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan, sama ada padang jenis Zeon Zoysia yang berkualiti tinggi akan digunakan di stadium lain selain Stadium Nasional Bukit Jalil.

Turut dijadualkan, Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sama ada bantuan kewangan kos bayaran haji secara bersasar bagi kategori B40, M40 dan T20 pada tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan.

Rodziah Ismail (PH-Ampang) pula membangkitkan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, mengenai sama ada terdapat dasar untuk membatalkan terus nombor telefon kitar semula yakni langkah tersebut akan diperkenalkan, demi menjamin keselamatan dan ketenteraman pengguna prabayar dan pascabayar.

Usai sesi itu, persidangan hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober lepas.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober ini.

Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November ini. – 24 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related