SHAH ALAM – Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad memberi amaran kepada Umno bahawa DAP akan meninggalkan parti tersebut sekiranya arahan mereka tidak didengari.
Beliau berkata, Umno seharusnya berhati-hati untuk tidak mengikut telunjuk dan memberi sepenuh kepercayaan kepada DAP demi kepentingan peribadi mereka.
“DAP sudah pastinya akan menolong kamu (Umno) selagi (kamu) mendengar cakap mereka.
“Bagaimanapun, sekiranya kamu tidak mendengar apa yang mereka mahukan, kamu pula akan ditinggalkan begitu sahaja,” katanya ketika ceramah sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Idris berkata, DAP didakwa akan menjadikan Umno sebagai tunggangan parti berkenaan untuk meraih lebih ramai sokongan orang Melayu.
Jelasnya, tindakan itu pastinya dilaksanakan oleh DAP, seperti mana PAS menjadi mangsa ketika bersama parti tersebut di bawah gabungan Pakatan Rakyat (PR).
“DAP akan tunggang Umno seperti mana mereka gunakan PAS untuk mendapatkan undi orang Melayu. Oleh itu, (walaupun PAS memiliki sokongan Melayu), kita minta Gerakan untuk bekerja keras agar mereka dapat membina kembali keyakinan bukan Melayu.
Sementara itu, Idris berharap agar penyokong serta ahli PAS sentiasa bersabar dan meneruskan gerak kerja di lapangan bagi memastikan parti itu dan PN mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Di Pahang dan Perak, PN dan Barisan Nasional (BN) menang banyak kerusi, tetapi BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). Kamu (Umno) mungkin gembira sekarang, tapi ingat kamu pasti akan dihukum rakyat.
“Sehubungan itu, semua kena bersabar dan kita perlu bekerjasama erat agar kita mampu menang pada PRU-16 akan datang. Orang muda sekarang sedang menyokong dan membantu kita menerusi platform di media sosial,” katanya.
Pada PRU-15, PN menang 17 kerusi di Pahang, BN pula menang 16 kerusi dan PH lapan kerusi.
Jumlah 24 kerusi dimenangi BN dan PH lebih daripada 22 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) 42 kerusi itu.
Di Perak BN hanya menang sembilan kerusi manakala PH pula 24 kerusi, menjadikan jumlah kerusi dimenangi mereka kepada 33 kerusi.
Sebuah parti memerlukan 30 kerusi untuk mencapai majoriti mudah di Perak – 22 Oktober, 2023