KUALA LUMPUR — Penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis menjadi inti pati khutbah Jumaat hari ini dengan mimbar mengingat umat Islam supaya terus memberikan pendedahan mengenai kekejaman Zionis.
Bukan itu sahaja, mimbar turut mengingatkan umat Islam supaya bersyukur dengan kenikmatan dan keamanan di negara ini.

Teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu juga berkata ketika rakyat Malaysia dapat beristirehat di kediaman yang selesa, penduduk Gaza hanya berteduh dalam runtuhan bangunan.
“Ketika anak-anak kita di sini leka bermain dengan telefon, anak-anak Gaza ‘didendangkan’ dengan bedilan peluru dan bom. Ketika kita di sini buntu memilih aneka juadah yang banyak, mereka di sana terpaksa mencatu makanan bagi bekalan untuk hari mendatang.
“Palestin akan terus menangis selagi rejim Zionis menjajah negara mereka. Air mata rakyat Palestin akan terus membasahi buminya menyuburkan semangat intifada,” katanya.

Justeru, umat Islam digesa bersatu hati dan berterusan memberi pendedahan tentang kekejaman Israel selain perlu menanamkan semangat kepada generasi muda dengan rasa kecintaan terhadap bumi Palestin.
“Umat Islam harus bersatu membina kekuatan dengan berterusan memberi pendedahan dan membongkar kejahatan rejim Zionis Israel.
“Generasi muda perlu ditanamkan dengan semangat kecintaan terhadap bumi Palestin. Perbezaan ideologi politik pula bukan halangan untuk kita sama-sama menunjukkan sokongan dan dukungan terhadap perjuangan Palestin,” kata teks itu lagi.

Mimbar di Perak juga memberikan penekanan terhadap isu Palestin dan menggalakkan rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada mangsa konflik Palestin-Israel.
“Malaysia sentiasa memperjuangkan kebebasan Palestin. Selain kerajaan, terdapat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyalurkan bantuan dan khidmat kemanusiaan seperti menyediakan kelengkapan kanak-kanak, keperluan harian, baik pulih bangunan, ubat-ubatan, pakaian, makanan dan pelbagai keperluan lain. Bantuan sebegini merupakan salah satu amalan fardu kifayah yang amat digalakkan,” kata teks yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Di Selangor, mimbar mengingatkan umat Islam agar terus berusaha menjadi insan yang terbaik dan sentiasa beriman kepada Allah SWT.
“Umat Islam hendaklah segera melakukan kebaikan dan amal soleh supaya menjadi umat yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat. Umat Islam hendaklah menjadi umat yang terbaik dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati Rasulullah SAW.
“Umat Islam yang tidak mencegah kemungkaran dengan cara yang baik akan menjadi hina di sisi Allah,” kata teks tersebut yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). – 20 Oktober, 2023