Penjarakan kami jika perlu: penduduk Kg Sg Baru bertegas tuntut rumah transit, pampasan setimpal

Ada penduduk yang merasakan pihak berkuasa tidak berperikemanusiaan apabila terus mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan mengosongkan kediaman

12:29 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Meskipun penduduk Kg Sg Baru terlepas daripada pengusiran untuk sementara waktu hari ini, namun nasib mereka masih tidak menentu dalam isu melibatkan projek pembangunan semula yang diterajui syarikat swasta, Ritzy Gloss Sdn Bhd.

Ada penduduk yang ditemui Scoop hari ini berkata mereka rela ke penjara daripada mengosongkan kediaman masing-masing semata-mata untuk memberi laluan kepada projek terbabit.

Menurut seorang warga emas yang dikenali sebagai Opah Noraya, berusia 76 tahun, ia (penjara) menjadi lebih ringan jika dibandingkan dengan seksaan mental yang dialami disebabkan pihak pemaju tidak mempunyai belas kasihan kepada mereka.

Opah Noraya berkata, hukuman penjara adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan seksaan mental yang dialami disebabkan pihak pemaju tidak mempunyai belas kasihan kepada mereka – Riduan Ahmad/Scoop, 20 Oktober, 2023

Aduan penduduk tersebut termasuk pampasan yang tidak mencukupi dan ada sesetengah daripada mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju selepas permohonan mendapatkan rumah transit ditolak.

“Saya menetap di tanah ini sejak kami tinggal di tanah setinggan, sebelum rumah teres kami dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 1970-an ketika Kg Sg Baru masih di bawah Selangor.

“Ini tanah kami. Rumah ini penuh dengan kenangan bersama arwah suami saya, anak-anak dan kini cucu-cucu. Saya tidak pernah terfikir terpaksa berpindah ke tempat lain, saya mahu menutup mata di tempat ini,” sambung Opah Noraya.

Antara marah dan reda, warga emas itu sempat menyindir, “Saya tidak kisah jika terpaksa ke penjara. Sekurang-kurangnya dapat makan percuma.”

Beliau turut menyatakan rumah di mana anak-anaknya bercadang untuk membawanya masih belum siap – masalah sama yang dialami oleh penduduk lain yang tidak mendapat rumah transit.

Kira-kira 30 rumah di sini terpaksa dikosongkan hari ini, berdasarkan kepada notis pengusiran yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah. Notis berkenaan menyatakan jika mereka didapati tinggal di situ tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan – ia adalah kesalahan di bawah seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun penjara sehingga lima tahun.

Beberapa buah lori kelihatan di kawasan berkenaan manakala keadaan di dalam rumah berselerak ketika mereka sedang menyusun barang-barang termasuk perabot antik – Riduan Ahmad/Scoop, 20 Oktober, 2023

Notis pengusiran itu dikeluarkan pada 5 Oktober lalu, meskipun setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azman Abidin mengesahkan kepada Scoop bahawa tarikh pengosongan telah ditunda kepada 31 Oktober.

Pengusiran penduduk adalah selaras dengan Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960, undang-undang yang digunakan kerajaan untuk mengambil milikan rasmi tanah di kawasan bersejarah Melayu itu pada Jun 2021, selepas permohonan Ritzy Gloss untuk LAA diluluskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Hari ini, tinjauan Scoop mendapati penduduk yang berdepan dengan pengusiran mula mengemas rumah.

Beberapa buah lori kelihatan di kawasan berkenaan manakala keadaan di dalam rumah berselerak ketika mereka sedang menyusun barang-barang termasuk perabot antik.

Sebagai tanda protes, sebahagian penduduk menampal notis versi mereka sendiri, berwarna merah jambu, iaitu berbeza dengan notis merah yang mengarahkan mereka mengosong rumah masing-masing.

Notis versi sendiri itu menyatakan kawasan berkenan berdepan dengan pengusiran secara paksa bagi memberi laluan kepada projek komersial ketika rayuan kepada Anwar tidak dijawab.

Sebagai tanda protes, sebahagian penduduk menampal notis versi mereka sendiri, berwarna merah jambu, iaitu berbeza dengan notis merah yang mengarahkan mereka mengosong rumah masing-masing – Riduan Ahmad, 20 Oktober, 2023

Penduduk generasi kedua Kg Sg Baru, Shahrudin Mohd Hashim, 51, pula berkata adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan apabila pihak berkuasa terus mengambil tindakan terhadap penduduk yang enggan mengosongkan kediaman mereka.

“Jika mereka mempunyai belas ihsan, bagaimana mereka boleh hukum kami begini? Kami tiada tempat nak dituju.

“Kami akan mempertahankan hak kami. Apa pilihan yang kami ada? Bukannya kami minta banyak, kami cuma mahu diberikan pampasan yang setimpal daripada pemaju swasta yang lebih daripada mampu untuk memberikan kami (pampasan yang setimpal),” kata Shahrudin.

Shahrudin Mohd Hashim berkata, para penduduk cuma mahu diberikan pampasan yang setimpal daripada pemaju swasta yang lebih daripada mampu untuk memberikan pampasan yang setimpal – Riduan Ahmad/Scoop, 20 Oktober, 2023

Laporan sebelum ini menyebut bahawa penduduk Kg Sg Baru tidak berpuas hati dengan perbezaan kira-kira 310% pampasan yang ditawarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian berbanding penilaian oleh pihak swasta.

Dalam satu kes, flat seorang penduduk dinilai RM470 sekaki persegi oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Kementerian Kewangan, manakala penilai bebas memaklumkan aset itu bernilai RM1,480 sekaki persegi.

“Bagaimana anda (Ritzy Gloss) tawarkan kami pampasan yang rendah dari harga pasaran? Kami orang biasa, tetapi sebagai manusia, kami ada hak. Siapa yang sepatutnya berjuang untuk kami?” soalnya.

Beliau menambah, penduduk masih menunggu jawapan daripada Anwar mengenai perkara itu dan mendakwa pemilik tanah masih belum didekati untuk rundingan yang telah dijanjikan sebelum ini iaitu perjumpaan antara penduduk dan pihak berkepentingan korporat.

Jabatan Perdana Menteri kini menyelia hal-hal Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, pakar kerajaan tempatan, Derek Fernandez sekali lagi mempersoalkan penggunaan Seksyen 3(1)(C) Akta Pengambilan Tanah 1960 (LAA) untuk mengusir penduduk Kg Sg Baru, dengan menekankan bahawa seksyen itu perlu dibaca bersama seksyen lain.

“Ia bermaksud jika ada perintah pembangunan atau kelulusan bangunan atau rumah sedia ada terbina di atas tanah tersebut, maka pengambilan tanah hanya boleh dibuat atas sebab membangunkan ultiliti awam dan bukan untuk tujuan lain,” katanya kepada Scoop.

Scoop sebelum ini menemui penduduk Kg Sg Baru, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, dan peguam yang mewakili Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru. – 20 October, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related