KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung pengurusan dana latihan dan keberkesanan program latihan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pada Isnin depan.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding berkenaan akan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Datuk Amran Ahmad serta Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.
“Isu ini tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), jadi PAC menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Dewan Rakyat untuk mengadakan prosiding ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) akan dibentangkan pada 30 Oktober ini.
Tegasnya, isu tersebut telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2, Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun.
“PAC telah mengadakan lima prosiding tahun ini iaitu pada 15 Jun hingga 21 September lalu dengan memanggil 12 saksi termasuk Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ketua Pegawai Operasi Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Isu ini turut didebatkan oleh ramai Ahli Dewan Rakyat ketika membahaskan LKAN semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 pada 6 Jun lalu,” katanya. – 19 Oktober, 2023