Solidariti Palestin: Ramai prihatin, kutipan Tabung AAKRP cecah RM81 juta

Jumlah itu termasuk RM10 juta yang disumbangkan kerajaan Malaysia sebagai dana awal untuk disalurkan kepada mangsa peperangan di negara berkenaan

2:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Solidariti beberapa syarikat korporat di negara ini terhadap perjuangan dan penderitaan penduduk Palestin terserlah, apabila jumlah kutipan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang ditubuhkan Kementerian Luar, kini mencecah RM81 juta.

Jumlah itu termasuk RM10 juta yang disumbangkan kerajaan Malaysia sebagai dana awal untuk disalurkan kepada mangsa peperangan di negara berkenaan, seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2024.

Sumbangan itu diserahkan pihak berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Muhammad Alamin.

Dalam ucapannya, Anwar menzahirkan penghargaan kepada syarikat korporat berkenaan kerana prihatin dengan nasib rakyat Palestin yang kini hidup dalam kesengsaraan angkara kekejaman rejim Zionis Israel.

Perdana Menteri berkata, beliau memberi jaminan bahawa kutipan tabung AAKRP akan disalur terus kepada penduduk di sana bagi kegunaan perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.

“Saya terharu dalam masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal, iaitu RM100 juta.

“Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepada syarikat kerajaan, swasta serta syarikat bukan Islam,” katanya.

Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza – Gambar Jabatan Penerangan, 19 Oktober, 2023

Penyumbang terbesar ke tabung itu adalah Khazanah Nasional serta syarikat berkaitan kerajaan lain (GLC) yang menyerahkan RM15.5 juta, manakala Yayasan Al-Bukhary (RM15 juta), YTL Corporation Berhad (RM5 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM3 juta) dan Maybank (RM2 juta).

Turut sama menyumbang, Naza Group of Companies sebanyak RM1 juta, McDonalds Malaysia (RM1 juta), Jakel Holdings Sdn Bhd (RM 1 juta), Sunway Berhad (RM1 juta) serta beberapa syarikat korporat.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan mana-mana pihak yang mengutip derma untuk rakyat Palestin supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan bagi kepentingan diri masing-masing.

“Saya ingin nasihatkan rakan di masjid atau surau, kutip wang kena ada tanggungjawab dan ia perlu diurus dengan cekap. Jangan ambil kesempatan bina mahligai masing-masing.

“Badan sukarela jangan belanja begitu tinggi untuk keindahan pejabat, dana ini untuk bantuan kemanusiaan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia supaya menyumbang mengikut saluran yang betul bagi mengelak wang disumbang disalah guna pihak tidak bertanggungjawab

“Buat rakyat Malaysia, mendermalah kepada pihak sahih, tabung yang diurus dengan telus. (Buat pihak tidak bertanggungjawab), janganlah ambil kesempatan,” katanya.

Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza.

Pertempuran antara Hamas dan tentera Israel sejak 7 Oktober lalu, mengakibatkan ribuan penduduk terkorban, puluhan ribu cedera dan kemusnahan harta benda. – 19 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related