Kerajaan Perpaduan akan terus pertahan kebebasan badan kehakiman: PM

1:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman negara walau apa jua pun.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa cabang eksekutif mengganggu proses badan kehakiman.

“Tiada sekelumit kebenaran pun dalam dakwaan keji ini, yang kini diulang-ulang di media sosial.

“Biar saya ulang apa yang telah saya katakan sebelum ini, sebagai Perdana Menteri, saya bukan sahaja tidak mencampuri walau sedikit pun kuasa badan kehakiman, malah saya akan mempertahankan, walau apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman,” kata beliau pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA) ke-14 di sini.

Beliau berkata dalam sejarah Malaysia terdapat individu dalam badan kehakiman yang bekerjasama dengan kuasa tertentu, melakukan pelanggaran terhadap institusinya sendiri dan membiarkan kezaliman dan tindakan sewenang-wenangnya di pihak yang lain.

Anwar berkata kerajaan dan mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakan mereka.

“Kerajaan perlu telus dan itu penting daripada prinsip kerajaan terbuka.

“Oleh itu, urusan dan keputusan yang tidak jujur tidak boleh digunakan untuk mengaburi mata rakyat atas nama Akta Rahsia Rasmi.

“Kemudian, ada doktrin bahawa undang-undang mesti adil dan saksama dan semua mesti mempunyai akses kepada keadilan,” kata beliau.

Oleh itu, Perdana Menteri menyeru para peguam supaya menjadi pejuang keadilan, pembela untuk golongan terpinggir dan pembawa kesaksamaan.

“Kita mesti berusaha untuk memastikan keadilan bukan komoditi hanya tersedia untuk mereka yang mempunyai kemampuan kewangan, sebaliknya hak sejagat yang boleh diakses oleh semua, tanpa mengira status sosioekonomi mereka,” kata beliau. – 19 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related