KUALA LUMPUR – Sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin, restoran makanan segera, KFC mengambil keputusan untuk menangguhkan penganjuran Kepci Music Fest ketiganya pada Sabtu ini.
KFC menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan penangguhan konsert yang dijadualkan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru itu dibuat dengan rasa berat hati tetapi perlu dilakukan bagi menzahirkan kebersamaan dengan rakyat Palestin.
“Dengan dukacitanya, KFC akan menangguhkan Kepci Music Fest ketiga di Arena Larkin yang dijadualkan pada 21 Oktober ini.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua yang menantikan Kepci Music Fest dan memahami kesulitan yang bakal dialami semua pihak.
“Namun, kami berharap rakyat Malaysia memahami situasi krisis yang dialami dan kami amat menghargai sokongan anda semua,” katanya.
Dalam pada itu, KFC turut memaklumkan mereka sedang giat menumpul dana untuk membantu individu dan komuniti di Gaza yang terjejas akibat konflik Israel-Palestin itu.
“Maklumat tentang inisitaif ini akan dapat dikongsikan dalam masa yang terdekat,” katanya.
Melalui ruang komen, rata-rata netizen memuji tindakan dilakukan restoran makanan segera tersebut dan menyifatkannya sebagai satu keputusan tepat dan terbaik.
Kepci Music Fest 2023 sebelum ini diadakan di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 26 Ogos dan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) di Penampang, Sabah pada 6 Oktober lalu.
Konsert tersebut menampilkan beberapa artis berbeza di setiap lokasi persembahan. – 19 Oktober, 2023