Mo Salah gesa bantuan dibenar masuk ke Palestin, ‘henti segera peperangan, utamakan nilai kemanusiaan’

Pemain bola sepak berpengaruh dunia itu juga menyeru pemimpin dunia untuk bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa yang tidak bersalah

10:04 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza. Penduduk di situ dalam keadaan sangat teruk,” gesa pemain bola sepak Liverpool, Mohamed Salah ketika mengulas mengenai konflik peperangan Israel dan Palestin.

Gesaan itu dibuat Salah atau dikenali Mo Salah, 31, menerusi video berdurasi 51 saat di Instagram awal pagi ini.

Katanya, keadaan di negara berkenaan, termasuk di hospital amat mengerikan, dengan penduduk Gaza memerlukan makanan, air dan bantuan perubatan segera.

Dalam wajah sugul, pemain kelahiran Mesir itu juga menyeru pemimpin dunia untuk bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa yang tidak bersalah.

Menurutnya, nilai kemanusiaan mesti diutamakan dan peperangan antara dua pihak terbabit perlu dihentikan secepat mungkin.

“Bukan mudah sebenarnya untuk bercakap dalam masa seperti ini. Terdapat terlalu banyak keganasan, kesedihan dan kekejaman.

“Peningkatan (serangan) dalam beberapa minggu kebelakangan ini amat berat untuk disaksikan.

“Setiap nyawa adalah suci dan mesti dilindungi. Pembunuhan beramai-ramai perlu dihentikan, keluarga sedang berpecah-belah,” katanya.

Sejak dimuatnaik kira-kira enam jam lalu, video itu menerima hampir 3.9 juta tanda suka daripada pengikutnya.

Rata-rata mereka gembira dan memuji tindakan berani pemain itu dalam menyuarakan gesaannya berhubung konflik berkenaan, di sebalik sikap segelintir selebriti atau individu berpengaruh hanya berdiam diri untuk mengeluarkan kenyataan.

“Terima kasih Mo kerana bersuara mengenai isu Palestin dan Israel,” kata pengguna.

Perang Palestin dan Israel yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, hingga kini mengakibatkan ribuan rakyat Palestin terkorban, manakala lebih 10,000 cedera.

Ia menyaksikan Israel melancarkan serangan ketenteraan berterusan terhadap Semenanjung Gaza, sebagai tindak balas terhadap serangan tentera Hamas, Palestin.

Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa terhadap Israel, iaitu serangan mengejut pelbagai serampang, termasuk menggunakan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut serta udara.

Tentera Hamas berkata, serangan itu sebagai membalas serbuan terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, selain keganasan peneroka Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin. – 19 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

[UPDATED] AGC requests high court for gag order on public discussion of Najib’s addendum case 

Attorney-General’s Chambers also does not want lawyers to hold watching briefs on hearings for the opposition

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related