SHAH ALAM – PAS menjelaskan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat ekonomi di empat negeri (SG4) ditadbir PAS bukan bermaksud mengenepikan peranan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peranan dan pengalaman Muhyiddin masih diperlukan bagi meneruskan tadbir urus negeri.
“Ada yang tanya kenapa tak lantik Muhyiddin, kenapa lantik Tun Dr Mahathir sebagai penasihat ekonomi SG4? Tun berada di luar (parti gabungan).
“Saya nak tekankan di sini, dia (Muhyiddin) memang sebahagian daripada kita, dia Pengerusi PN yang sentiasa bersama kita.
“Yang bersedia sumbang pengalaman dia, pengalaman yang baik kita ikut dan guna untuk teruskan pentadbiran negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ke-64 di sini malam ini.
Hadir sama ialah Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, ramai pihak yakin masa depan negara terletak pada Perikatan Nasional (PN) dan PAS akan menerajuinya.
“Saya dikunjungi ramai pimpinan, wakil-wakil duta asing, pimpinan negara luar yang keseluruhannya buat kesimpulan, masa depan negara terletak pada PN dan PAS akan menerajuinya.
“Jadi kita harus bersedia menerajui kerajaan pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini beberapa pihak melihat pembentukan SG4 ditadbir PN dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya’ akan menimbulkan masalah dengan dilihat membawa isyarat sentimen anti-Persekutuan. – 19 Oktober, 2023