Kerajaan nafi ambil alih saham UEM, Renong Berhad secara paksa 23 tahun lepas

Menurut defendan, pengambilalihan itu diakui oleh plaintif (Tan Sri Halim Saad) melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003

10:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menafikan telah mengambil alih pemegangan saham United Engineers Malaysia Bhd (UEM) dan Renong Berhad milik bekas Pengerusi Eksekutif Renong Berhad, Tan Sri Halim Saad secara paksa, 23 tahun lepas.

Menerusi pernyataan pembelaan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan selaku defendan menyatakan bahawa pengambilalihan itu dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

“Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003.

“Lanjutan daripada surat tersebut, plaintif telah dibayar dengan pampasan berjumlah RM165 juta oleh Khazanah yang dibuat dalam dua bahagian iaitu bayaran pertama sebanyak RM45 juta pada 22 Mei 2003 dan bayaran kedua sebanyak RM120 juta pada 26 Mei 2003,” kata tiga defendan itu bagi menjawab saman yang difailkan Halim yang juga bekas Pengarah Renong Berhad pada 2 Ogos lepas.

Menurut tiga defendan, keseluruhan kumpulan syarikat-syarikat Renong-UEM adalah sebahagian besar daripada Indeks Komposit Kuala Lumpur dan apabila prestasi saham Renong serta UEM lemah dan harga saham tidak pulih, keadaan tersebut telah memberi impak buruk dan membebankan pasaran saham secara keseluruhannya.

“Di bawah kelolaan plaintif, permodalan pasaran Kumpulan Renong telah merudum sebanyak 41 peratus daripada RM7.2 bilion pada 1997 kepada RM4.2 bilion pada 2000.

“Semasa kemuncak krisis kewangan Asia 1997/1998, Renong mempunyai hutang berjumlah RM26 bilion, yang merangkumi tujuh peratus daripada keseluruhan sistem perbankan di Malaysia pada ketika itu dan bagi memulihkan keadaan, Dr Mahathir bersetuju dengan cadangan Nor Mohamed bahawa cara terbaik adalah untuk menstruktur semula kedua-dua Renong dan UEM. 

“Cadangan ini dapat dilaksanakan dengan menjadikan UEM “private” (dijadikan persendirian) dengan suatu tawaran am kepada semua pemegang saham UEM. Nor Mohamed diberi mandat oleh Dr Mahathir untuk melaksanakan penstrukturan semula tersebut,” kata defendan-defendan itu.

Menurut defendan, memandangkan plaintif memegang saham kawalan Renong dan memiliki pula 37.92 peratus daripada pemegangan saham UEM, sokongan daripada plaintif diperlukan untuk menjayakan pengambilalihan itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim berkata beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah. 

“Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu. Ini mewajibkan saya untuk menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan, dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian,” dakwanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Halim mendakwa Khazanah telah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Oleh itu, Halim, antaranya, memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong. – 18 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related