KUALA LUMPUR — Langkah mitigasi dan pencegahan bagi pembangunan cerun yang mempunyai risiko dan peta bahaya perlu dilaksanakan di setiap jalan negeri, sama seperti yang dilakukan terhadap jalan persekutuan.
Ini bagi mengurangkan risiko agar kejadian seperti tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa pada tahun lepas tidak berulang lagi.
Perkara berkenaan disyorkan oleh Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR), yang ditugaskan untuk menjalankan penyiasatan terhadap insiden tersebut.
Ia turut mengesyorkan pemantauan berjadual secara tetap dilakukan, selain keperluan penyelenggaraan aset jalan dilaksanakan secara berkala oleh pihak berwajib
“Pelan Induk Cerun Nasional (2009-2023) yang akan berakhir pada tahun ini juga perlu dilanjutkan pelaksanaannya untuk 15 tahun akan datang. Ia bagi meningkatkan pelan pengurusan cerun yang berkesan bagi mengurangkan risiko seperti kehilangan harta benda, ancaman hidupan akibat pelbagai bahaya dan perubahan iklim yang berterusan.

“Pembangunan analitis data besar menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) disyorkan untuk dilaksanakan bagi mengurus data cerun secara menyeluruh serta mampu menyepadukannya di semua peringkat pihak berkepentingan agar satu keputusan holisitik dapat dihasilkan,” kata JKKTR menerusi laporan akhir penyiasatan tanah runtuh Batang Kali yang dikeluarkan kepada awam, hari ini.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 itu membabitkan jumlah mangsa maut kedua terbesar selepas kejadian kondominium Highland Towers runtuh pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Dalam kejadian pada 2.30 pagi di Batang Kali itu, seramai 92 mangsa terlibat dengan 31 orang terkorban termasuk 13 kanak-kanak.
Mengulas lanjut, JKKTR turut menyatakan keperluan untuk kerajaan mencipta garis panduan yang lebih solid, selain mempertingkatkan penguatkuasaan akta bagi tapak perkhemahan serta rekreasi.
“Pada masa sama, perkasakan kakitangan Cawangan Kejuruteraan Cerun agar mereka dapat mengetuai semua siasatan bagi kejadian tanah runtuh di seluruh negara,” katanya.
Mengulas berkenaan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, JKKTR menafikan aktiviti antropogenik (didorong oleh manusia) menjadi pemangkin dalam menjejaskan kestabilan cerun di kawasan tersebut.

Jelasnya, dakwaan itu tidak dapat dibuktikan secara kukuh dan komited berpendirian bahawa punca utama berlakunya ‘peristiwa hitam’ di Batang Kali, disebabkan kejadian bencana alam, dipengaruhi oleh hujan serta pelbagai faktor geologi lain.
“Tanah runtuh berlaku disebabkan dua peringkat, yang pertama ialah kegagalan gelongsor putaran jari kaki disebabkan ketepuan air yang tinggi dan konsistensi tanah melebihi had cecair di kaki cerun di lot persendirian.
“Aliran serpihan adalah yang kedua, di mana tanah, batu dan pokok, daripada jisim tanah runtuh sebelumnya terkumpul di kaki cerun gagal, sehingga membentuk empangan sementara buatan. Dengan aliran air dan air sungai sedia ada yang telah terkumpul, empangan sementara itu pecah selepas kira-kira 20 minit, meliputi tapak perkhemahan Batang Kali,” katanya. – 18 Oktober, 2023