KUALA LUMPUR – Ratusan orang awam terbunuh akibat letupan bom di hospital Gaza, semalam ketika kebimbangan meningkat terhadap kekurangan makanan, bahan api dan elektrik di wilayah bergolak itu.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan, Hospital Al-Ahli Baptist menempatkan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal sejak konflik Israel-Hamas tercetus.
Serangan bom itu menyebabkan ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Pegawai Palestin menyalahkan serangan udara Israel yang berterusan ke atas insiden maut itu.
Bagaimanapun Angkatan Pertahanan Israel menafikan terlibat dalam serangan tersebut, sebaliknya menyalahkan Hamas yang didakwa tersilap melancarkan bedilan roket.
“Kami tidak melakukan serangan itu. Berdasarkan risikan kami menunjukkan ia berpunca daripada kesilapan bedilan roket Hamas,” kata pegawai tentera Israel, Lt Kol Jonathan Conricus.
Gaza dikepung tentera Israel selama lebih seminggu, sebagai tindak balas kepada pencerobohan Hamas.
Sementara itu, hospital sedang bergelut untuk merawat mangsa yang cedera di seluruh wilayah bergolak itu dan beroperasi dengan kekurangan bekalan elektrik dan air.
Bantuan kemanusiaan masih menunggu pembukaan semula sempadan Rafah untuk memasuki Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai lain pula berkata, mereka memerlukan jaminan laluan selamat untuk sebarang konvoi bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
Menurut statistik rasmi yang dikeluarkan, angka korban di Gaza mencecah 3,000 nyawa sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober lalu. – 18 Oktober, 2023