Pengharmonian spektrum antara wilayah dan negara, penggerak penting ekonomi digital: Fahmi

Ia juga mengurangkan kerumitan dan kos untuk membangunkan dan menggunakan teknologi dan perkhidmatan digital baharu

9:51 PM MYT

 

DUBAI – Pengharmonian spektrum antara wilayah dan negara merupakan penggerak penting ekonomi digital yang akan memastikan bahawa infrastruktur dan ketersambungan yang diperlukan disediakan untuk menyokong pelbagai inovasi digital, perkhidmatan dan aktiviti ekonomi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata penyelarasan (pengharmonian) itu juga akan memacu pertumbuhan ekonomi dalam era digital.

“Peruntukan spektrum yang diselaraskan memudahkan ketersambungan dan keserasian global. Perniagaan yang beroperasi dalam ekonomi digital boleh membangunkan produk dan perkhidmatan yang berfungsi dengan lancar merentasi sempadan, mengembangkan pangkalan pelanggan dan jangkauan pasaran mereka.

“Capaian global ini boleh membawa kepada peningkatan hasil dan pertumbuhan ekonomi,” katanya di forum ‘Shaping Next-Gen Telecom Policies: Global Spectrum Harmonisation for Mid-band 5G’, di sini hari ini.

Fahmi merupakan salah seorang penceramah jemputan bagi forum yang diadakan sempena Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global 2023.

Selain itu, beliau berkata ia juga mengurangkan kerumitan dan kos untuk membangunkan dan menggunakan teknologi dan perkhidmatan digital baharu apabila wilayah atau negara yang berbeza menyelaraskan dasar spektrum mereka.

“Ini seterusnya menggalakkan keusahawanan dan inovasi dalam ekonomi digital,” katanya.

Setakat ini, hampir 80,000 perniagaan tempatan telah didigitalkan dan kira-kira 20,000 orang telah dilatih secara digital melalui program ‘Saya Digital’, katanya.

Beliau berkata pelancaran 5G Malaysia telah mencapai liputan 70.2 peratus kawasan berpenduduk (CoPA) setakat 30 September 2023 dan langganan rangkaian 5G kini berjumlah 2.49 juta pengguna yang bersamaan dengan 7.4 peratus daripada kadar penggunaan.

“Kita semakin hampir kepada sasaran 80 peratus yang ditetapkan untuk pelaksanaan rangkaian borong kedua,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Pakistan Dr Umar Saif mengenai potensi kerjasama dalam keselamatan siber antara kedua-dua negara.

Edisi GITEX Global ke-43 dihadiri lebih daripada 6,000 syarikat dari 170 negara, ia berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Dubai manakala Expand North Star (ENS) pula akan diadakan dari 15 hingga 18 Oktober di Dubai Harbour. – 17 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related