KUALA LUMPUR – Hukum pernikahan pengarah dan pelakon, Sabri Yunus dengan aktres Angline Tan adalah sah mengikut syarak kerana ucapan balas pengantin lelaki sudah memadai serta mencukupi.
Pengesahan itu dibuat bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ketika menjawab persoalan seorang individu menerusi akaunnya di aplikasi X berhubung hukum pernikahan selebriti berkenaan.
Ia susulan dakwaan pihak tertentu bahawa lafaz pengantin lelaki tidak sempurna, sehingga perkara itu tular serta mencetuskan perdebatan hangat netizen.
“Assalamualaikum Datuk Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul. Mohon pencerahan. Terima kasih,” soal individu terbabit.
Dalam penjelasannya, Zulkifli memaklumkan, hukum sah dikatakannya adalah sebahagian pendapat jumhur ulama dan satu pendapat dalam mazhab Syafi’i.
Jelasnya, hal itu disebabkan sebutan ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, justeru ucapan pengantin lelaki terbabit kembali atau merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
“Kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki “Aku terima” atau “Aku redha’ sahaja, sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah,” katanya.
Zulkifli berkata, namun pihaknya tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya”, “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, malah ia lebih ihtiyat (berhati-hati) serta sempurna.
“Bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal melibatkan perkahwinan penganut Islam berada di bawah pentadbiran jabatan agama Islam dan majlis agama Islam di negeri masing-masing.
“Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing,” katanya.
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di… pic.twitter.com/sjm8ot0yij
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) October 16, 2023
Sabri yang turut dikenali dengan nama lakonan Wan Ismail Golok, 62, mencetuskan kejutan apabila mengahwini Angeline dalam satu majlis pernikahan secara tertutup di Perlis, 14 Oktober lalu kerana mereka adalah kenalan sejak puluhan tahun lalu.
Pasangan pernah sama-sama menjayakan sitcom Pi Mai Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada awal 90-an hingga 2000 itu, dinikahkan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza.
Hanya dengan sekali lafaz, Sabri sah memperisterikan Angeline yang kini dikenali sebagai Ardini, selepas wanita itu memeluk Islam di Musolla Teduhan Doa yang juga kediaman Dr Maza.
Majlis pernikahan tersebut turut dikongsikan menerusi sesi siaran langsung di akaun Facebook Dr Maza.
Terdahulu, Maza menjelaskan, lafaz kabul ringkas dibuat Sabri adalah sah di sisi agama dan bukti bahawa Islam itu mudah.
Ujarnya, pernikahan bukan perkara patut disulitkan dengan syarat ketat, sedangkan ijab dan kabul pada zaman Nabi Muhammad SAW begitu ringkas.
Manakala, Sabri menerusi media sosialnya berhubung kontroversi itu menyifatkan, tuduhan seorang pendakwah yang mendakwa dia dan isterinya, Angeline berzina kerana pernikahan mereka tidak sah adalah sangat berat.
Dia juga meluahkan kesedihan dan kekecewaan apabila lafaz qabul diungkapkannya menjadi perdebatan pendakwah terbabit sekali gus mengundang persepsi negatif, termasuk dalam kalangan netizen. – 17 Oktober, 2023