KUALA LUMPUR – Punca utama tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor disebabkan kombinasi jumlah hujan major (Major Rainfall Kumulatif) bagi tempoh lima hari.
Ia juga berpunca daripada hujan Anteseden (Anteseden Rainfall) kumulatif 30 hari yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm sebelum berlaku runtuhan itu.
Itu hasil analisis forensik yang dikeluarkan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) dan kerajaan Selangor yang ditubuhkan bagi menjalankan kerja penyiasatan tanah runtuh itu berdasarkan kepada Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 dan keputusan Jemaah Menteri.
Jawatankuasa tersebut diketuai cawangan kejuruteraan cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR), serta pelbagai agensi teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan badan-badan profesional berwajib.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hujan lebat menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah dan berlakunya kerosakan harta benda, selain insiden kehilangan nyawa.
“Siasatan juga tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini.
“Laporan penuh JKKTR itu boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, www.nadma.gov.my, mulai jam 10.00 pagi esok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, laporan forensik itu sudah diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kerajaan Selangor untuk dinyahklasifikasi bagi membolehkan hasil siasatan berkenaan dicapai oleh orang awam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menegaskan, Selangor bersetuju untuk menyahklasifikan laporan tersebut pada 5 Oktober lalu.
Malah katanya, laporan berkenaan turut diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan susulan pada 12 Oktober lalu.
Terdahulu, kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh di Batang Kali, menuntut siasatan telus bagi mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.
Mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah, kerana tiada laporan penuh siasatan walaupun kejadian sudah enam bulan berlalu.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember itu membabitkan jumlah mangsa maut kedua terbesar selepas kejadian Kondominium Highland Towers runtuh pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi kira-kira jam 2.30 pagi di Batang Kali itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 terkorban termasuk 13 kanak-kanak. – 17 Oktober, 2023