KUALA LUMPUR – Selepas menerima kecaman ramai susulan penjualan koleksi ‘The Palestine Duck’ yang dianggap tidak sensitif dengan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel, pengasas dUCK Group, Datin Vivy Yusof menjelaskan semua keuntungan jualan koleksi itu akan diserahkan kepada pertubuhan Viva Palestina Malaysia.
Malah kata Vivy, syarikatnya juga tidak akan meminta pengecualian cukai di atas sumbangan tersebut.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Vivy berkata tujuannya menghasilkan koleksi tersebut adalah bagi menunjukkan sokongan serta solidariti terhadap penduduk Palestin yang kini teruk dibedil Israel.
“Menunjukkan sokongan saya dengan penuh bangga. Semua orang ada pelbagai cara untuk tunjukkan sokongan dengan menderma kepada NGO (badan bukan kerajaan), berkongsi maklumat dan juga boleh memakai apa yang anda sokong.
“Kerana apa yang anda lakukan itu mungkin akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk sama-sama menunjukkan sokongan, sama ada Muslim atau tidak.

“dUCK tidak membuat sebarang keuntungan daripada koleksi, semua keuntungan akan disumbangkan kepada Viva Palestina Malaysia. Tiada pengecualian cukai untuk koleksi ini.
“Saya bangga dengan pasukan saya kerana melakukan ini (koleksi The Palestine Duck) agar lebih ramai orang dapat menyumbang di samping mendapat sesuatu (barangan jualan) yang boleh dipakai untuk menunjukkan solidariti berterusan,” katanya.
Dalam penjelasannya, Vivy turut menyatakan selain tudung, koleksi itu dikeluarkan dalam bentuk cawan dan beg kerana ingin memberikan pilihan kepada mereka yang tidak bertudung untuk menunjukkan solidariti dengan cara tersendiri.
Malah katanya, ia bukan rekaan baru dan merupakan koleksi 2021 dan dikeluarkan semula selepas mendapat permintaan ramai. Jelasnya pra tempahan berakhir pada tengah malam Selasa.
“Kami mahu hasilkan sesuatu item untuk mereka yang tidak berhijab juga. Produk yang boleh disiapkan dalam tempoh yang singkat daripada pembekal kami ialah beg dan cawan.. sebab itu kami datangkan sekali dengan pilihan tersebut.

Terdahulu, tindakan Vivy melancarkan koleksi itu dikecam ramai netizen selepas tular gambar tudung, beg dan cawan bermotifkan bendera Palestin tular di media sosial.
Rata-rata netizen menyifatkan pengeluaran produk berkenaan sebagai tidak sensitif dengan penderitaan yang dilalui rakyat Palestin serta dilihat sebagai salah satu cara syarikat tersebut untuk ‘meraih’ keuntungan.
“Ini sangat tidak sensitif. Sebaiknya derma jelah terus dekat badan bukan kerajaan (NGO) yang memang menguruskan sumbangan ke Gaza,” kata Hannah Nasir di Instagram.
“Berhenti ambil kesempatan atas kejadian tidak diingini. Ia bagus 100 peratus keuntungan akan pergi ke Palestin tetapi pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku dan kamu mendapat keuntungan daripada penderitaan dan mempromosikan jenama kamu. Betapa rendahnya kamu boleh pergi, sifar empati,” kata Nsffiii.
Koleksi The Palestine Duck menghimpunkan tudung jenis shawl dan skaf yang didatangkan dengan dua warna iaitu putih dan hitam masing-masing berharga RM300 manakala cawan pula RM40 dan beg berharga RM50 yang sudah habis terjual. – 15 Oktober, 2023