KUALA LUMPUR — Kehadiran seorang mahasiswa, Chean Fun Cheng, ke Himpunan Solidariti Palestin menarik perhatian ramai apatah lagi beliau turut sama berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk menyerahkan memorandum.
Fun Cheng, yang berusia 22 tahun, berkata, kekejaman ke atas Palestin perlu dihentikan segera kerana jelas Israel adalah penceroboh.
“Israel yang menjadi pengganas dan mereka menceroboh tanah penduduk Palestin dan kita tahu sejarah penubuhan negara Israel sehingga mengorbankan ribuan nyawa,’’ katanya ketika ditemui Scoop, di sini hari ini.
Fun Cheng merupakan sebahagian daripada 900 orang yang menyertai Himpunan Solidariti Palestin dan berarak dari Masjid Negara ke Kedutaan AS di Jalan Tun Razak bagi menyerahkan memorandum kepada wakil dari kedutaan tersebut.
Malaysia sumbang dana bantuan RM10 juta bantu Palestin pic.twitter.com/IcGdIb6Zpv
— Scoop (@Scoopdotmy) October 13, 2023
Himpunan sama turut dianjurkan di beberapa negeri lain termasuk Terangganu dan Kedah, bagi menyatakan sokongan kepada penduduk Palestin yang dibedil tentera zionis di Gaza.
Sebagai tanda sokongan kepada penduduk Palestin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2024 turut menyatakan komitmen Malaysia untuk meluncurkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana sebanyak RM10 juta.
Beliau turut menggesa syarikat-syarikat serta orang ramai untuk ikut serta demi prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Sementara itu, seorang bapa, Ali Naki, membawa empat anaknya ke Himpunan Solidariti Palestin di ibu kota hari ini, kerana mahu mereka turut serta dalam program berkenaan selain mengenali sikap sebenar Israel.
Ali yang juga seorang usahawan berkata, Israel secara jelas melanggar dan tidak menghormati undang-undang perang antarabangsa apabila melakukan serangan di tempat awam sehingga membunuh orang tua, wanita dan kanak-kanak.
“Hari ini, saya sanggup ambil cuti, bawa sekali anak-anak walaupun ada masih kecil untuk mereka merasai himpunan menentang Israel. Apabila mereka dewasa nanti, mereka ada semangat untuk bersama mempertahankan umat Islam di Palestin walaupun kita tidak dapat ke sana.
“Apalah sangat panas di sini berbanding anak-anak Palestin, yang bukan sahaja kepanasan dan kelaparan malah kehilangan tempat tinggal serta ahli keluarga. Sungguh besar cabaran yang Allah berikan kepada mereka berbanding kami,” katanya.
Manakala Sherifa Juani Syed Mohamad Rafi, 41, yang juga seorang guru teruja dengan sambutan orang ramai yang hadir ke perhimpunan berkenaan dan ia memberi gambaran jelas terhadap perjuangan menentang rejim zionis.
“Bagi saya, lebih baik kita meluahkan ketidak puashati kita terhadap Israel dengan cara begini berbanding menghentam negara itu di media sosial. Ini cara kita bersolidariti dalam memberi sokongan kepada Palestin,’’ katanya.
Sementara pesara kerajaan, Mustapha Shaikh, 63 pula berkata dia nekad menyertai himpunan solidariti itu semata-mata untuk memberikan sokongan kepada penduduk Palestin di Gaza yang kini sedang dibedil oleh Palestin. – 13 Oktober, 2023