MYAirline gantung operasi bermula hari ini

Penggantungan itu susulan syarikat penerbangan berkenaan berdepan masalah kewangan ketara, namun ia giat berusaha menangani isu terbabit dan meneruskan operasi secepat mungkin

8:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, hingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Lembaga Pengarah MYAirline memaklumkan, keputusan itu diambil susulan syarikat terbabit kini mengalami masalah kewangan ketara.

Katanya, penggantungan operasinya itu juga dilakukan sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan syarikat penerbangan berkenaan kembali dilakukan.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja serta rakan kongsi kami yang berdedikasi,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan pihak syarikat sudah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan pengumpulan modal, bagi mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tidak mempunyai alternatif selain mengambil keputusan ini.

“Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul dan kami komited untuk membantu anda melalui situasi ini.

“Penumpang yang terjejas dinasihatkan tidak ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, lembaga pengarah, pemegang saham dan semua warga MYAirline akan berkerja keras untuk meneruskan operasi secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, pada peringkat ini pihak syarikat tidak dapat memberikan komitmen kepada sebarang garis masa.

“Sila hubungi kami di [email protected], dan pasukan sokongan kami akan bersedia untuk memberikan bantuan mereka,” katanya.

MYAirline ditubuhkan pada 11 Januari 2021, sebelum ia memulakan penerbangan sulungnya pada 1 Disember 2022.

Syarikat berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu ditubuhkan sebagai memberi lebih pilihan kepada orang ramai dan menggalakkan bidang penerbangan di Malaysia. – 12 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related