KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tawaran kepada pegawainya yang berminat untuk memegang jawatan-jawatan sensitif di bawah pengelolaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, meskipun tawaran itu dibuat secara terbuka namun tapisan akan dilakukan secara terperinci dan perlu mengisytiharkan harta sepencarian, termasuk isteri.
Jawatan sensitif, katanya, yang boleh diisi secara terbuka itu adalah pegawai risikan dan operasi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) serta pegawai di Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
“(PDRM) keluarkan tawaran terbuka kepada mana-mana anggota berminat untuk menyertai kami untuk jawatan sensitif. Sila kemukakan surat permohonan dengan borang pengisytiharan harta dan akan ditemu ramah oleh jawatankuasa di bawah JSJ
“Walaupun nanti mereka telah diterima masuk, audit berterusan akan kita laksanakan kepada pegawai yang memegang jawatan sensitif ini dan ia akan dilakukan setahun sekali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
@pdrmsia_rasmi AMANAT PENGARAH JSJ Ikuti sedutan video amanat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian di seluruh Malaysia bertempat di Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, semalam.
♬ original sound – PDRMsiaOfficial
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan ucapannya di Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang tular di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen.
Menerusi klip video tersebut,Shuhaily memberi amaran keras terhadap mana-mana pegawai bawahannya yang bersekongkol dengan sindiket jenayah.
Beliau mendedahkan, terdapat antara pegawai atasan dipercayai ‘bersubahat’ dengan anggota berkongsi hasil imbuhan sindiket, sehingga ada yang sanggup ‘mengorbankan’ nyawa rakan setugas dengan memberikan maklumat salah dalam sesuatu operasi.
Katanya, situasi tersebut harus diberi perhatian serius oleh setiap pegawai atasan atau penyelia dalam jabatan dan bahagian siasatan jenayah di seluruh negara.
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Shuhaily berkata, ia hanyalah merupakan kenyataan umum serta kesinambungan daripada saranan yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, sebelum ini.
Jelasnya, apa yang diucapkan dan didedahkan pada majlis bersama pegawai JSJ di Pulau Pinang itu merupakan satu rahsia yang bukan lagi rahsia, malah ia usaha dan inisiatif berterusan PDRM membersihkan pasukan secara berkesan.
“Niat saya memuat naik di TikTok jabatan kerana saya hanya dapat berjumpa dengan 130 pegawai, sedangkan saya ada 10,000 anggota dan pegawai lain dalam jabatan ini.Apabila ucapan itu dimuat naik, masyarakat umum memberikan maklum balas yang memberangsangkan.
“Sebenarnya arahan isytihar harta telah saya keluarkan sebelum viral di TikTok kerana kita mahu ia dilaksanakan secara telus dan komprehensif. Tiada lagi alasan lupa untuk lakukan perkara itu dan jika didapati mereka tidak dapat memberi alasan bagaimana mereka mendapat harta itu, kita akan buat kertas siasatan terhadap mereka,” katanya.
Sementara itu, Shuhaily berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan berapa ramai yang tahu apa yang berlaku di dalam PDRM.
“Sekiranya mereka memiliki harta atau kereta mewah, maka berikan sebab mengapa mereka mampu. Saya tidak melarang kalau beli kereta dengan sumber kewangan yang sah kerana siapa saya untuk melarang menggunakan kereta berkenaan,” katanya. – 11 Oktober, 2023